Halaman

19 June 2013

Pengisian program bakti remaja dikaji semula

Oleh: Noraini Jusoh

Majlis Belia Negeri Terengganu menyarankan pengisian Program Bakti Remaja yang menyediakan dana untuk diagihkan kepada belia negeri ini yang belum berkahwin dan berumur dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun dengan menelan belanja kira-kira RM30 juta setahun dikaji semula.

Pengerusinya, Mat Yusof Mat Ali berkata, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) baru-baru ini, sokongan golongan belia kepada kerajaan memerintah dilihat sangat mengecewakan.

"Kerajaan negeri telah melaksanakan satu pelaburan yang cukup besar tetapi impaknya terhadap kerajaan amat mendukacitakan.

"Justeru, pendekatan baru terutama dalam pembinaan modul Program Bakti Remaja perlulah lebih telus dan mendapat perkongsian idea semua pihak termasuk Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Majlis Belia Negeri, dan pihak-pihak lain yang berkaitan demi menjamin kelangsungan belia yang cemerlang dan setia kepada negara tercinta,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara 2013 Sidang 1, Peringkat Negeri Terengganu di Prinzpark Hotel, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, sebagai salah satu pendekatan atau transformasi, pihak kerajaan mestilah mendengar, memahami serta memperhalusi suara anak muda yang sangat memerlukan perhatian.

"Malah, pendekatan program yang dijalankan untuk golongan belia hendaklah sesuai dengan kehendak golongan berkenaan,” ujarnya.

Tambah beliau, persatuan-persatuan belia juga mesti diaktifkan dan diperkasakan selain mengutamakan kualiti dan bukannya kuantiti persatuan.