Halaman

17 June 2013

Perhebatkan aktiviti beridentiti negeri untuk tarik pelancong – Sultan Terengganu

Oleh; Esah Abdullah 

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin memuji usaha kerajaan negeri dalam merancakkan sektor pelancongan dan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 perlu diperhebatkan lagi dengan aktiviti yang beridentiti negeri untuk menarik kedatangan pelancong.

Titah baginda, kerajaan negeri perlu mencari satu mekanisme supaya sektor pelancongan mampu membuka peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi kepada rakyat.

 “Beta percaya dengan ‘Aku Janji Kerajaan’ bagi menjadikan Tasik Kenyir sebagai hab pelancongan utama negeri yang akan menjadi kenyataan pada 2014 dan ini sudah tentu mampu menarik dan menggamit kehadiran pelancong ke negeri ini khususnya ke Tasik Kenyir,” .

Sultan Terengganu bertitah demikian di Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ketiga Belas di Wisma Darul Iman hari ini.

Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah turut berangkat ke istiadat berkenaan.

“Beta juga suka mengingatkan bahawa pembangunan Tasik Kenyir perlulah dibuat secara kerjasama dengan agensi swasta supaya tidak membebankan kerajaan dalam usaha membangunkan tasek itu,” titah Baginda.

Sultan Mizan Zainal Abidin juga mengucap tahniah kepada kerajaan negeri kerana memberi tumpuan yang bersungguh-sungguh bagi menyediakan kemudahan asas kepada golongan berpendapatan rendah malah dasar kerajaan yang mensasarkan 10,000 buah rumah mampu milik (2009-2012) telah tercapai serta lima tahun ke hadapan dengan jumlah yang sama.

“Beta menyeru kerajaan menggunapakai kaedah yang boleh mempercepatkan pembinaan rumah-rumah ini dengan penglibatan pihak swasta atau syarikat perumahan di bawah kendalian kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan yang boleh dijadikan rakan kongsi bagi membina lebih banyak rumah mesra rakyat,” titah Baginda.

Dalam pada itu, Sultan Mizan Zainal Abidin sukacita kerana banyak kejayaan yang dicapai oleh kerajaan di bawah kepimpinan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di mana slogan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ benar-benar diterjemahkan ke dalam sistem pentadbiran negeri.

“Urusan pentadbiran yang bersifat mesra rakyat telah memberi keselesaan apabila mereka berurusan dengan agensi kerajaan, malah kurangnya karenah birokrasi menjadikan sesuatu perkara berkaitan pemasalahan cepat diselesaikan,” titah Baginda.

Sultan Terengganu juga gembira apabila kerajaan terus memberi penekanan kepada pembangunan fizikal secara keseluruhannya dan telah terbukti dengan pembangunan ‘Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di Tanjung dan Ladang di mana langkah tersebut amat bertepatan bagi pembangunan bandar ini di samping turut memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat di kawasan sekitar.