Halaman

30 June 2013

PKMM mohon kerajaan negeri pelbagaikan pakej

Oleh: Noraini Jusoh

Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Terengganu memohon kerajaan negeri memberi peluang kepada kontraktor melaksanakan projek di negeri ini dengan cara memecahkan projek besar kepada skala lebih kecil supaya lebih ramai kontraktor mendapat projek.
Yang Dipertua PKMM Negeri Terengganu, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, antaranya dengan menetapkan garis panduan kepada kontraktor luar supaya apabila mereka mendapat sesuatu projek, kontraktor kecil atau pembekal-pembekal tempatan masih boleh bekerja.

"Apabila sesuatu pakej boleh dikecil-kecilkan lebih ramai kontraktor yang dapat melaksanakan projek tersebut.

"Kalau pakej yang agak besar mereka kurang kemampuan tetapi kalau pakej itu boleh dikecilkan, mungkin lebih ramai dan mereka ada kemampuan untuk melaksanakannya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-37 PKMM di Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, terdapat sesetengah projek besar contohnya yang boleh dipecah-pecahkan.

"Tidak perlu ada projek sampai RM50 juta, RM30 juta tetapi kalau boleh buat yang RM10 juta, RM5 juta mengikut kesesuaian atau apa yang boleh dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah memadai,” ujarnya.

Mengulas mengenai kebanjiran kontraktor luar di negeri ini, beliau mengakui menerima rungutan mengenai perkara tersebut dan berpendapat, kontraktor luar datang dengan pakej sendiri yang tidak sedikit pun memberi manfaat kepada bukan sahaja kontraktor tempatan tetapi juga masyarakat tempatan termasuk pembekal.

"Kita bimbang apabila projek diberikan kepada orang luar kerana kita tidak ada peluang atau kesempatan untuk mendapatkan separuh daripada projek tersebut.

"Sama juga apabila diberikan kepada kontraktor bukan Melayu, kita akan susah untuk mendapatkan sub kontrak daripada mereka berbeza apabila diberikan kepada kontraktor orang Melayu, orang bukan Melayu masih ada peluang untuk mendapatkan kerja-kerja termasuk pembekal bahan binaan,” ujarnya.

Katanya, daripada 1000 ahli persatuan yang berdaftar hanya 400 ahli yang aktif di mana PKMM hanya berperanan memperjuangkan hak ahlinya tetapi persatuan tidak boleh menentukan siapa yang berhak mendapat projek.