Halaman

17 June 2013

Rawatan percuma tiga hari di Klinik Nur Sejahtera LPPKN sempena Hari Bapa

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebagai pengiktirafan kepada semua bapa, Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan pemeriksaan percuma sepanjang tiga hari bermula hari ini.

Rawatan pemeriksaan sempena sambutan Hari Bapa termasuk pemeriksaan tekanan darah, ujian glukos dan kolestrol yang disediakan di semua Klinik Nur Sejahtera LPPKN seluruh Terengganu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, keluarga dan Masyarakat negeri, Encik Mahdi Musa, berkata umum mengetahui sambutan hari bapa kebiasannya disambut di seluruh dunia pada bulan Jun setiap tahun.

 “Pada tahun ini, Sambutan hari Bapa yang bertemakan Terima Kasih Ayahku turut disokongan kerajaan negeri dengan kerjasama LPPKN.

“Memandangkan bapa mempunyai tanggungjawab amat tinggi kepada keluarga, amatlah wajar aspek kesihatan bapa perlu diberi perhatian,” katanya kepada pemberita, semalam.

Encik Mahdi berkata, sambutan hari bapa bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan bapa supaya menjadi contoh kepada ahli keluarga dalam aspek penjagaan kesihatan.

Selain itu, LPPKN turut menyediakan cenderahati kepada golongan itu sebagai menghargai peranan mengemudi keluarga, mengasuh dan melindungi keluarga selama ini.

Sebanyak 200 cenderahati diedarkan di kawasan terpilih dan tumpuan umum termasuk di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, sempena Pelantikan dan Majlis Angkat Sumpah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri dan Majlis Angkat Sumpah Adun Terengganu, semalam.

 “Mudah-mudahan sambutan hari bapa ini memberi semanagat kepada bapa untuk terus memainkan peranan penting menjadi pengemudi keluarga serta mengamalkan cara hidup yang sihat,” katanya.