Halaman

19 June 2013

Sidang DUN: Wakil rakyat harus penuhi tuntutan rakyat

Oleh: Aida Abd Rahman

Setiap wakil rakyat yang sudah dipilih oleh rakyat bagi mewakili harapan dan hasrat mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, seharusnya memainkan peranan secara bijaksana bagi memastikan rakyat dapat menikmati manfaat dan peluang untuk mengubah taraf hidup ke arah lebih baik.

YB Haji Muhammad Pehimi Yusof (BN-Jertih) berkata demikian selaras dengan titah Sultan Terengganu,  Sultan Mizan Zainal Abidin mengenai pembangunan yang perlu diteruskan dalam memastikan rakyat memperolehi faedah untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

 “Semasa kempen PRU13 baru-baru ini juga pelbagai isu berbangkit termasuk isu Kalimah Allah. Dari isu itu, Umno dari awal lagi begitu tegas dan konsisten bahawa Kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh agama lain termasuk Kristian kerana kepercayaan ketuhanan dalam Kristian adalah tidak menyamai dengan Agama Islam.

“Saya rasa amat bersyukur apabila dimaklumkan Majlis Syura Ulama Pas bahawa kalimah ini tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa kerana tidak menepati kehendak makna sebenar daripada kalimah ini,” katanya ketika sesi perbahasan sidang Dun, petang semalam.

YB Haji Muhammad Pehimi juga menjelaskan bahawa tidak boleh bahasa asing diterjemahkan kepada Kalimah Allah termasuk kalimah God atau Lord daripada mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah juga tidak dibolehkan kerana salah dari segi makna serta tidak menepati kehendak sebenar, sekali gus boleh membawa kekeliruan di kalangan masyarakat.

“Ia hendaklah dicegah dan tidak silap saya demikian juga kenyataan rasmi oleh majlis Syura Ulamak pas yang bermesyuarat pada 12 Januari 2013 yang lalu.

“Seperkara lagi berkait, saya rasa agak sensitif sedikit, iaitu berkait `seluar dalam’ saya rasa tidak perlu panjangkan isu berkenaan , tetapi saya berharap kawan-kawan yang menjadi mangsa terhadap isu itu mengambil inisiatif untuk membuat penyiasatan agar masalah ini tidak berlarutan dan menjadi masalah kepada mereka yang terbabit,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari parti masing-masing dipilih oleh rakyat berdasarkan keputusan PRU13 lalu supaya akur dan menerima keputusan itu sebagai ketentuan Allah s.w.t.

 “Terima kasih dan tahniah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan seluruh petugas termasuk pegawai dan kakitangannya yang menjayakan proses demokrasi pada PRU13 baru-baru ini. Saya yakin mereka menjayakan tugas dengan bersungguh-sungguh dan amanah.

"Bagi mereka yang masih tidak berpuas hati, kita semua dibenarkan utuk menghantar petisyen ke mahkamah, jangan gunakan kaedah yang tidak dibenarkan seperti turun ke jalan raya, mengadakan sebarang perhimpunan yang menyalahi perundangan negara,” katanya.

Beliau juga mengingatkan semua Adun bahawa perjuangan mereka semata-mata kepada agama, bangsa dan negara, yang menjadi pegangan dari dulu hingga kini, bagaimanapun cara perjuangan itu kemungkinan  dibezakan dengan kaedah masing-masing.