Halaman

19 June 2013

Sidang DUN:KTNZ mampu tingkat ekonomi negeri

Oleh: Suriati Ali

Pengerusi Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi YB Roslee Daud memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Kompleks Tuanku Nur Zahirah (KTNZ) di Kampung Tanjung Bunut, Manir yang dibina dengan kos RM4.6 juta itu mampu meningkatkan ekonomi negeri.

 Katanya, pada masa sama langkah itu mampu menarik kedatangan peminat songket dan batik dari dalam dan luar negara.

 “KTNZ juga akan menjadi pusat informasi berkaitan perkembangan dan pembangunan tekstil tenun songket bersepadu selain pusat penyelidikan serta menyalurkan khidmat profesional berkaitan seni dan teknologi bertaraf antarabangsa,” katanya ketika menjawab Ridzuan Hashim (Teluk Pasu-Pas).

Menurutnya, pembinaa KTNZ dibawah kendalian Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) turut menyediakan kursus kemahiran tertentu yang mengambil masa setahun setengah.

 “Pengambilan peserta disasarkan kepada golongan remaja dan penduduk setempat, buat permulaan seramai 10 peserta sedang mengikuti kursus yang ditawarkan. .

 “Matlamat utama, YPU menyasarkan seramai 30 hingga 40 pelajar dapat mengikuti kursus di situ pada setiap sesi. Pelatih bakal menerima elaun sebanyak RM450 sebulan daripada YPU,” katanya.

 Katanya, penubuhan institut yang setanding dengan Institut Kraftangan serta sijil yang diiktiraf Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan itu mampu membuka peluang pekerjaan kepada pelatihnya apabila tamat kursus di situ nanti.

 Selain itu, pelatih IKSNZ juga bakal ditawarkan pekerjaan di KTNZ serta boleh menceburkan diri dalam mana-mana bidang berkaitan termasuk menjadi usahawan songket dan batik di seluruh negara.

 


No comments: