Halaman

25 June 2013

Sukma jadi medan uji kemampuan kekal juara

Kontinjen Terengganu menyifatkan sukan Malaysia (Sukma) 2013 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dari Jumaat ini hingga 7 Julai sebagai medan yang bakal mencabar kemampuan mereka sebagai juara empat kali berturut-turut.

Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, Haji Rozi Mamat berkata ini berdasarkan hakikat beberapa acara yang menjadi tunggak kekuatan kontinjen negeri sebelum ini seperti sukan basikal, kenu dan sukan berkuda tidak dipertandingkan pada temasya kali ini.

"Kontinjen Terengganu kini mengejar kejuaraan kelima berturut-turut demi maruah negeri yang pernah dianggap lemah dalam bidang sukan suatu ketika dahulu," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama atlet Sukma Terengganu di kediamannya di sini.

Bagaimanapun, beliau yakin kontinjen negeri mampu mengekalkan kejuaraan dengan semua atlet telah membuat persediaan secukupnya untuk memberikan cabaran pada kejohanan itu.

"Atlet Terengganu sekarang ini bukan seperti atlet 10, 15 tahun dulu dan atlet kita kini sudah bersedia untuk berjuang dan memastikan akan dapat menguasai sukan yang dipertandingkan," katanya.

 Pada Sukma kali ini Terengganu yang menyasarkan 30 pingat emas menghantar seramai 330 atlet membabitkan 16 acara sukan.