Halaman

17 June 2013

Sultan Mizan berangkat ke Istiadat Pembukaan DUN Terengganu

Oleh; Esah Abdullah



Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ketiga Belas di Wisma Darul Iman pagi ini.

Turut berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.



Keberangkatan tiba Sultan dan Sultanah Terengganu diiringi Tengku Sri Temenggong Raja dan Engku Kelana DiRaja serta isteri To’ Puan Sharifah Fatimah Sahalat disambut oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zuber Embong.

Turut menyambut keberangkatan baginda berdua ialah Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah dan To’ Puan Hajah Rohani Abdullah serta Ketua Polis Terengganu Dato’ Haji Jamshah Mustapa.


 
Kenamaan lain yang hadir ialah  Kerabat-kerabat Raja; Ahli-ahli Dewan  Pangkuan DiRaja; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Orang-orang Besar Raja; Ahli-ahli Darjah Kebesaran Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Dewan Negara serta pegawai kerajaan.

Kawalan Kehormat terdiri daripada BN 9, Pasukan Gerakan Am, Kubang Badak Kuala Terengganu dan gabungan Brass Band 18 RAMD dan Rejimen 512 (AW) Kuala Terengganu telah mempersembahkan ‘Hormat DiRaja’ serta lagu ‘Selamat Sultan dipersembahkan dan Bendera DiRaja dikibar.

Sultan Mizan Zainal Abidin kemudiannya berkenaan berangkat memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan diiringi Ketua Barisan Kehormat dan Ketua Polis Negeri Dato’ Haji jamshah Mustapa.