Halaman

04 June 2013

Syarat lebih ketat untuk belajar di luar negara

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan akan meneruskan tajaan anak-anak Terengganu melanjutkan pelajaran ke luar negara namun dengan syarat yang lebih ketat iaitu bukan hanya berlandaskan kepada akademik semata-mata tetapi juga sahsiah dan akal budi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri YB Ghazali Taib berkata, perkara tersebut akan dititikberatkan bagi melahirkan individu yang mempunyai pakej lengkap supaya dapat memberi impak positif pada masa depan.

Beliau juga mengulangi pendirian kerajaan bahawa setiap anak tempatan yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi awam dan swasta berhak mendapat bantuan melalui Yayasan Terengganu (YT) tanpa mengira latar-belakang keluarga.

 “Walaubagaimanapun setiap permohonan bantuan tersebut perlu mendapat pengesahan daripada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) atau Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), manakala kawasan yang tidak mempunyai wakil rakyat (BN) pula perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing..

“Semua pelajar yang layak berhak mendapat bantuan tersebut dan kerajaan tidak pernah menyekat bantuan diberi kepada anak-anak penyokong pembangkang. “Sekiranya ada kalangan mereka yang dipertanggungjawabkan untuk mengesahkan permohonan itu tidak berbuat demikian, saya anggap perkara itu lebih kepada masalah peribadi yang perlu diselesaikan secara bijaksana.

“Namun, saya anggap ia hanyalah masalah terpencil,” katanya ketika mengulas permohonan bantuan persediaan melanjutkan pelajaran bagi kawasan tiada wakil rakyat BN.

 Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Penyampaian Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) kepada 60 pelajar Diploma Kemahiran Malaysia Showme International College, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Katanya, setiap pelajar yang melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah dalam negeri menerima bantuan RM1,000 (RM1,300 Sabah/Sarawak) Diploma (RM750) dan Matrikulasi, Sijil dan Asrama Penuh (RM500) manakala Ijazah di luar negara mengikut kos pengajian yang mereka ambil.