Halaman

30 June 2013

‘Telekom Malaysia Treasure Hunt’ bantu promosi TMT 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Sebagai sebuah badan berkaitan kerajaan (GLC), Telekom Malaysia (TM) telah mengadakan program ‘Telekom Malaysia Treasure Hunt’ sebagai tanda sokongan kepada kerajaan negeri dalam mempromosikan negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Pengurus Besar TM Terengganu, Hamidun Ismail berkata, penganjuran program yang telah memasuki tahun ke empat oleh kelab TM Terengganu ini mendapat sambutan menggalakkan daripada hampir 80 peratus peserta luar dari Terengganu yang merupakan kakitangan TM sendiri.

"Program ‘Telekom Malaysia Treasure Hunt’ kali ini mendapat penyertaan daripada 328 peserta mengambil bahagian dan menggunakan 82 kenderaan dengan empat orang peserta mewakili setiap kumpulan.

"Sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, cabarannya lebih menarik kerana melibatkan laluan di dalam negeri Terengganu sahaja dengan jarak 250 kilometer di mana peserta perlu ke lokasi-lokasi menarik di negeri ini seperti Masjid Terapung, Noor Arfa Batik dan sebagainya untuk menyelesaikan tugasan yang diberi.

"Secara tidak langsung, program ini dapat memperkenalkan Terengganu kepada peserta luar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah Program Telekom Malaysia Treasure Hunt yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri, Dato' Haji Mohd Jidin Shafee di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi.

Katanya, pertandingan pada kali ini menawarkan hadiah keseluruhan yang cukup lumayan berjumlah RM55,000.

Sementara itu, johan ‘Telekom Malaysia Treasure Hunt’ yang dimenangi pasukan kontraktor TM Terengganu diketuai Salman Sulong, 34, melahirkan rasa puas hati kerana pasukannya berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM 5000.

"Kami berempat hanya meletakan sasaran untuk mengekalkan tempat kedua memandangkan mempunyai kelebihan di mana saya telah menyertai pertandingan ini selama empat tahun berturut-turut dan pernah menjadi naib johan.

"Alhamdulillah, kejayaan ini hasil kerjasama ahli pasukan yang tahu peranan masing-masing sepanjang cabaran yang banyak menguji ketahanan fizikal dan mental ,” ujarnya mewakili tiga rakan lain iaitu Ahmad Saifiullah Sulong, 23, Mohd Afzal Alamin Mohamad, 23, Hanifa Mohamad, 25.