Halaman

20 June 2013

TUDUHAN KERAJAAN MEMBERI PROJEK PASAR PAYANG BERNILAI RM400 JUTA ADALAH FITNAH

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said hari ini mengingatkan kepada Adun Pas Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Nawawi supaya tidak membuat fitnah berkaitan isu pembinaan semula Pasar Kedai Payang.

 “Fitnah adalah lebih bahaya dari membunuh dan di dalam peristiwa Isra’ Mikraj digambarkan orang yang menfitnah itu lidahnya dipotong kemudian bersambung dan dipotong lagi begitulah berulang-ulang,” kata Menteri Besar.

 Ini berikutan kenyataan Dr Syed Azman di dalam Harakahdaily membuat kenyataan bahawa apakah rasionalnya diberikan projek bernilai RM400 juta kepada Tan Sri Abu Sahid dan tidak diberikan kepada rakyat Terengganu yang berwibawa. Petikan dari Harakahdaily:

Beliau berkata demikian pada satu sidang medianya di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Terengganu, di Pusat Niaga Paya Keladi dekat sini hari ini.

 Harakahdaily dimaklumkan, pembangunan baru Pasar Besar Kedai Payang yang menjadi kontroversi bernilai RM400 juta itu dikurniakan kepada syarikat terbabit yang telah memperolehi banyak projek di Terengganu termasuk Perwaja Steel di Kemaman.

Dr Syed Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok mendakwa, masih ramai kontraktor-kontraktor Terengganu yang berwibawa tetapi tidak diutamakan.

Justeru, kata beliau, apakah rasionalnya diberikan projek RM400 juta itu kepada seorang bergelar Tan Sri yang telah kaya-raya serta telah memperolehi banyak projek kerajaan negeri sebelum ini

“Ramai kontraktor-kontraktor Terengganu sekarang ini yang tidak ada projek untuk menjalankan projek-projek mereka.

“Apa rasionalnya diberi kepada seorang Tan Sri yang telah kaya-raya dan dapat projek terlalu banyak di Terengganu ini, termasuk projek Perwaja Steel di Kemaman yang Terengganu sendiri mengalami kerugian ratusan juta dalam projek Perwaja itu,” jelasnya.

Dr Syed Azman juga meminta semua termasuk pihak syarikat berkenaan agar dapat mengkaji semula cadangan pelaksanan projek tersebut yang mendapat bantahan semua pihak.

Menteri Besar Terengganu ketika membuat penggulungan perbahasan titah diraja menjelaskan, kenyataan Dr Syed Azman itu jelas dan nyata fitnah kerana tidak apapun pemberian projek berjumlah RM400 dari kerajaan kepada syarikat berkenaan sebagaimana yang dilaporkan itu.

 Sedangkan hakikat sebenarnya, syarikat itu ialah pemaju swasta yang mahu membina hotel di kawasan kedai payang dan kerajaan diberi percuma pembinaan pasar payang yang lebih selesa selaras dengan dasar pengswastaan, membuktikan kenyataan Dr.Syed Azman adalah fitnah.

Suasana dewan tegang apabila wakil Batu Burok tiba-tiba mengeluarkan perkataan yang boleh dianggap seperti ‘bodoh’ kepada Menteri Besar Terengganu ke atas jawapan yang diberikan, lantas Dato’ Seri Ahmad menyatakan jawapan bodoh kepada soalan bodoh.

Wakil Pas Batu Burok meminta menyemak peraturan Dewan tentang perkataan-perkataan yang boleh digunakan dan Menteri Besar menjelaskan bahawa perkataan ‘bodoh’ itu dimulakan oleh wakil Pas Batu Burok itu terhadapnya terlebih dahulu.

Menteri Besar meneruskan penjelasan dengan menyatakan bahawa kalau tidak buat pembangunan kerajaan juga akan dipersalahkan, membuat pembangunan juga dipersalahkan dengan berbagai maklumat yang salah dan fitnah.

 Pihaknya mendapati amat sesuai Pasar Payang dibina baru dengan suasana yang lebih baik termasuk berhawa dingin dan tangga bergerak kerana banyak sunggutan dari orang ramai dan pelancong yang datang berkunjung membeli belah di pasar berkenaan, bahawa suasananya amat tidak selesa dan panas.