Halaman

25 July 2013

50 peratus tenaga kerja berkemahiran teknikal untuk capai status negara maju

Oleh: Noraini Jusoh

Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia komited dalam memartabatkan bidang kemahiran bagi membantu negara menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Timbalan Ketua Pengarah JPK, Nidzam Kamarulzaman berkata, bagi tujuan tersebut Malaysia memerlukan lebih kurang 50 peratus daripada populasi tenaga kerja di negara ini terdiri daripada mereka yang berkemahiran teknikal.

Katanya, kerajaan sedar bahawa pentingnya meramaikan lagi bilangan tenaga mahir di negara ini kerana ia merupakan ciri-ciri atau keperluan sebuah negara maju.

"Jika kita lihat di Jepun, Korea dan sebagainya, jumlah pekerja yang berkemahiran teknikal sudah mencecah 50 peratus dan Singapura pula sudah mencapai angka 45 peratus.

"Tetapi, tenaga kerja yang mempunyai kemahiran teknikal di Malaysia masih lagi rendah iaitu sekitar 24 peratus,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Showme Skills Malaysia Competition 2013 di Hotel Permai Kuala Terengganu.

Menurut beliau, Malaysia harus mengejar peratusan ini supaya dapat bersaing dengan negara maju yang lain.

Katanya, dalam melahirkan ramai tenaga mahir berkemahiran JPK mengambil inisiatif mengadakan pertandingan Kemahiran Malaysia atau ‘Skills Malaysia’ yang bertujuan untuk memberitahu orang ramai terutamanya golongan belia bahawa bidang kemahiran bukan lagi bidang pilihan kedua.

"Kita hendak orang ramai tahu bahawa apabila mereka memilih bidang kemahiran, mereka masih mempunyai kerjaya dan masa depan yang baik.

"Malah, dalam membantu belia yang berminat dalam bidang kemahiran juga, pihak kami menjalin kerjasama dengan beberapa universiti teknikal di seluruh Malaysia untuk membolehkan pelajar-pelajar yang mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Katanya, dengan adanya laluan seperti ini beliau berharap pelajar yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang akademik mempunyai alternatif lain dengan menceburi bidang kemahiran sekaligus berupaya membekalkan tenaga mahir yang berkemahiran teknikal secukupnya menjelang 2020.