Halaman

01 July 2013

Barisan Nasional (BN) diminta meletakkan calon golongan agama

Oleh: Mohammad Ishak 

Barisan Nasional (BN) Terengganu diminta meletakkan calon berlatar belakangkan agama bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN Kuala Besut yang bakal diadakan pada Ramadan ini.

Cadangan itu bagi mengimbangi kedudukan kerusi BN di DUN Terengganu yang sekarang dikatakan tidak mempunyai ADUN daripada golongan agama.

Malah, peluang untuk menurunkan calon golongan agama dianggap peluang terbaik bagi BN pada PRK ini  kerana pembangkang juga dikatakan akan mempertaruhkan calon dari golongan agama untuk menentang BN.

Pengerusi Veteran UMNO Besut, Abd Aziz Hadi berkata, meskipun golongan profesional lain layak dipertimbangkan untuk merebut kerusi berkenaan tetapi golongan agama amat penting bagi memberi kekuatan kepada perjuangan Umno di Terengganu.

Katanya, UMNO Bahagian Besut mempunyai ramai tokoh dalam pelbagai bidang termasuk agama, pendidikan, profesional dan pemimpin masyarakat yang mampu mempertahankan kerusi berkenaan.

PRK Dun Kuala Besut, bakal diadakan pada bulan puasa berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar yang meninggal dunia Selasa lalu akibat kanser paru-paru.

Bagaimanapun,katanya, terpulanglah kepada kebijaksanaan pemimpin parti untuk menentukn siapa calon paling layak untuk disenaraikan bagi mempertahankan kerusi DUN berkenaan.

Dalam perkembangan lain, UMNO Bahagian Besut sudah menggerakkan jenteranya untuk mempertahankan kerusi berkenaan daripada dikuasai pembangkang.

Ketuanya,Dato' Seri Idris Jusoh bersama pemimpin lain sudah turun padang dan mendekati pengundi bagi mempastikan mereka terus menyokong perjuangan Umno bagi seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Walaupun DUN Kuala Besut dianggap kubu kuat BN tetapi jentera parti perlu digerakkan supaya sentiasa bersedia dan bergerak mulai sekarang,” katanya.