Halaman

13 July 2013

BN hanya tumpu ceramah kelompok kecil

Laporan Kamarudin Mat Akib, Mohamad Ishak dan Harun Hassan

Barisan Nasional (BN) hanya akan mengadakan ceramah bagi kelompok kecil bagi kempen Pilihan Raya Kecil Kuala Besut, bagi menyesuaikan dengan suasana bulan Ramadan.

Ketua Penerangan Umno Malaysia, Dato’ Haji Ahmad Maslan, berkata sebelum ini pihaknya tidak mengadakan ceramah sebaliknya kegiatan kempen bertumpu kepada aktiviti keagamaan di masjid dan surau di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

“Kita mengadakan majlis berbuka puasa yang melibatkan pemimpin dan masyarakat tempatan serta solat terawih dan moreh selepas terawih bagi meraikan masyarakat tempatan,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon semalam.

Bagaimanapun, katanya, bemula hari ini jentera BN akan mula mengadakan ceramah bagi kelompok-kelompok kecil bagi menerangkan kepada pengudi apa yang sudah dilakukan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, pijhaknya tidak bercadang mengadakan ceramah dalam skala yang besar bagi menghormati bulan puasa di mana umat Islam dituntut supaya memperbanyakkan ibadat.

“Kita tidak akan terikut-ikut dengan rentak pembangkang yang tetap mengadakan ceramah besar-besaran walaupun pada bulan puasa,” katanya.

Dato’ Ahmad Maslan yakin pendekatan yang digunakan oleh jentera BN dapat diterima oleh masyarakat di DUN Kuala Besut dan mereka akan memilih calon BN pada pilihan raya nanti.

“Calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman merupakan taruhan terbaik BN dan saya yakin beliau mampu menambat hati pengundi di kawasan kelahirannya,” katanya.