Halaman

13 July 2013

Calon BN tumpu program agama

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, menumpukan kegiatan bercorak keagamaan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.



Beliau menghadiri majlis-majlis berbuka puasa bersama-sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan pemimpin-pemimpin Umno di masjid-masjid yang diatur petugas parti di seluruh kawasan DUN.

“Kebiasaannya kami mengadakan solat terawih di masjid yang berlainan pula. Selepas terawih kami menikmati moreh bersama-sama pegawai dan kakitangan masjid serta penduduk berhampiran.

“Saya rasa program seumpama ini amat baik kerana ia mendekatkan kita kepada Allah dan pada masa yang sama memberi peluang untuk beramah mesra dengan penduduk tempatan,” katanya kepada Teganukita  ketika ditemui semalam.

Tengku Zaihan menyifatkan kempen PRK Kuala Besut yang kebetulan jatuh pada bulan Ramadhan mempunyai hikmah yang tersendiri di mana ia memberi peluang kepada semua pihak untuk lebih banyak berada di masjid dan surau bagi menjalankan kempen.

“Bagi pihak BN kita memang memberi tumpuan kepada program bercorak keagamaan. Tidak ada ceramah besar-besaran seperti yang dibuat pada bulan lain sebagai menghormati bulan yang mulia ini.

“Saya harap generasi muda turut mengambil kesempatan untuk berada di masjid dan menghadiri program-program keagamaan yang telah kita atur sepanjang kempen pilihan raya ini,” katanya.

Beliau turut meminta pengundi di DUN Kuala Besut memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat di kawasan itu selepas PRK ini dengan memilih beliau sebagai wakil rakyat.

“Saya mahu berkhidmat kepada penduduk tempatan dan mencurahkan pengalaman yang ada bagi menyambung legasi Alahyarham Dr A Rahman Mokhtar membangunkan kawasan ini,” katanya.