Halaman

28 July 2013

DiGi rai 200 pelajar Perkaya berbuka puasa

Oleh: Aida Abd Rahman

Ketika Ramadhan sudah melebihi separuh perjalanan, pelbagai pihak rancak tampil membantu meringankan bebanan mereka yang kurang bernasib baik seperti anak yatim, warga emas dan ibu tunggal dengan mengadakan majlis berbuka puasa di restoran mewah serta hotel seluruh negara.
Dato' Jailani Johari bergambar kenangan bersama sebahagian anak yatim Perkaya
Syarikat telekomunikasi, DiGi turut menunaikan tanggungjawab sosial dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi menaja 200 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) di majlis berbuka puasa `Happy Iftar Ramadhan’, di Hotel Primula Becah Resort, Kuala Terengganu, kelmarin.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari menyampaikan duit raya dan cenderahati kepada anak yatim terlibat.

Turut hadir Yang Dipertua Perkaya, Dato’ Tengku Mahmud Mansur; Ketua Perhubungan Strategik DiGi Telecommunication Sdn Bhd, Encik Roslan Rosli dan Presiden Kelab Wartawan Terengganu, Encik Ayob Mamat.

Seorang anak yatim Perkaya, Nurhana Zainudin, 15, dari sekolah Menengah Seri Serating, Marang, berkata sumbangan duit raya ini adalah yang pertama diterima kali ini.

"Saya dan rakan amat gembira dan bersyukur kerana ada pihak yang sentiasa prihatin dan sanggup menaja kami menikmati juadah berbuaka puasa yang sungguh istimewa ini.

"Bukan sahaja dapat makan di hotel serba mewah, malah kami terima pula duit raya dan cenderahati menyebabkan Ramadan ini menambahkan lagi kegembiraan kami walaupun membesar sebagai anak yatim,” katanya.

Seorang lagi anak yatim, Nurul Ain Nabila, 15, dari Kampung Serdang, Dungun, turut berkongsi kegembiraan itu apabila berpeluang diraikan bersama hampir 200 rakan yang kurang bernasib baik yang lain.

"Gembira dan teruja sebab dapat berbuka puasa dan terima duit raya pula dari Dato’ Jailani Johari. Ini pengalaman yang sangat manis dan berharga. Kami semua mat menghargainya.

"Ramai pihak tampil menaja kami makan dan menghulur bantuan apatah lagi pada bulan yang mulia dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba nanti,” kata anak ketiga dari empat beradik itu.