Halaman

03 July 2013

HARGAI DAN JAGAILAH APA YANG TELAH DINIKMATI SEKARANG

Kuala Besut yang aman damai.
Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

 Tidak lama lagi, Terengganu khususnya berdepan dengan satu Pilihan Raya Kecil berikutan kematian anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kuala Besut di Terengganu, Allhyarham Dr A. Rahman Mokhtar.

 Ia adalah kekosongan kerusi yang pertama selepas pilihan raya umum diadakan 5 Mei lepas dan menjadikan pilihan raya kecil yang pertama selepas pilihan raya umum ke 13.

 Sama ada di pihak Barisan Nasional atau pembangkang sudah tentu masing-masing akan menyertai pilihan raya kecil itu dan meletakkan calon masing-masing.

 Apa yang kita harapkan ialah supaya proses demokrasi itu berjalan dengan baik tanpa diganggu-gugat oleh sikap dan budaya yang melampau dari kalangan masyarakat kita sendiri.

Bertandinglah secara sihat dan utamakan perpaduan, keselamatan dan masa depan negeri dan negara dan rakyat memperolehi hidup yang makmur sejahtera sentiasa.

 Sebagai sebuah negara yang membangun dan menuju negara maju, seharusnya kita memastikan suasana pilihan raya berlangsung dalam suasana yang baik , aman dan penuh muhibbah.

 Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd.Yassin berharap rakyat di Dewan Undangan Negeri Kuala Besut membuat pilihan yang tepat untuk masa depan mereka sebagaimana pilihan yang mereka telah buat semasa pilihan raya umum baru lalu.

  Sesungguhnya bukan mudah untuk menstabilkan negara yang berbilang kaum, agama, budaya dan latar belakang kerana banyak cabaran perlu ditempohi bukan sahaja oleh pemimpin tetapi juga rakyat.

  Justeru kekayaan, pertumbuhan ekonomi, pembangunan dikongsi bersama, ini satu cabaran bagi pemimpin untuk menguruskan semua aspek pada masa yang sama, bagi memastikan kestabilan dan keamanan dalam negara.

Kita bersyukur kerana kepimpinan negara kita dapat menguruskan negara dengan baik dan membolehkan semua menjalani kehidupan yang sejahtera di negara ini.

 Jangan sesekali kita terpengaruh dengan golongan yang sentiasa membuat huru-hara dan mengapi-apikan rakyat dengan kebencian terhadap kerajaan, hanya kerana kepentingan politik sempit dan peribadi mereka. Sejarah telah mengajar kita bahawa perpecahan dan persengketaan akan membawa kepada keruntuhan dan kehancuran.

  Apakah kita sanggup menggadaikan masa depan negara kita hanya kerana terikut-ikut dengan golongan yang sentiasa tidak berpuas hati dan tidak memikirkan masa depan bangsa sendiri hanya kerana mahu merebut kuasa.

  Apakah kita lupa bahawa dalam sejarah Melayu, kerajaan dan kesultanan Melayu runtuh hanya kerana persengketaan sesama sendiri, hasad dengki, dendam dan sikap mementingkan diri yang berlaku dari kalangan anak bangsa sendiri.

 Oleh itu marilah kita hayati dan jadikan semua itu sebagai suatu pengajaran penting untuk memastikan bangsa dan negara kita terpelihara masa depannya, yakni bersatulah dan berpadulah untuk masa depan anak cucu kita di masa akan datang.

  Janganlah cuba untuk meruntuhkan apa yang telah kita miliki dan nikmati. Ingat pesan orang tua-tua – jangan kerana mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan.

  Maksudnya jangan kerana terpengaruh dengan janji-janji manis, membuat kita membuang segala yang telah sedia ada dalam genggaman kita.

 Marilah kita memastikan pilihan raya kecil di Kuala Besut nanti berlangsung dalam keadaan harmoni dan jangan ada sesiapa pun yang cuba melakukan sesuatu yang boleh mengancam keselamatan negara dan negeri kita,dengan tindakan-tindakan melampau dan di luar batasan budaya dan agama kita.

 Semoga keamanan, kemakmuran dan kehidupan yang sejahtera bahagia terus menjadi milik kita sebagaimana yang kita sedang nikmati sekarang.