Halaman

31 July 2013

Kakitangan kerajaan negeri terima duit raya esok

Reaksi Menteri Besar kepada pemberita ketika mengumumkan kerajaan negeri akan membuat bayaran RM500 seorang kepada kakitangan awam mulai esok.
Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri akan membuat bayaran khas kewangan sebanyak RM500 seorang kepada 6,795 orang penjawat awam di negeri ini mulai esok.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan negeri membelanjakan RM3,397,500 dan jumlah berkenaan tidak termasuk bayaran kepada kakitangan badan berkanun yang turut menerima RM500 seorang.

Dato' Seri Haji Ahmad Said keluar dari bilik Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri bersama exco yang lain.
“Jumlah perbelanjaan keseluruhan bagi bayaran khas kewangan kakitangan kerajaan negeri dan badan berkanun di negeri ini dianggarkan hampir RM7 juta,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya, perkara berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Exco hari ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri untuk beri bayaran khas kewangan RM500 kepada setiap penjawat awam sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menjawab pertanyaan pemberita mengenai siapa yang bakal mengisi kekosongan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat, Menteri Besar berkata setakat ini belum diputuskan lagi.

“Portpolio berkenaan akan berjalan seperti biasa dengan tugas-tugasnya diambil alih oleh timbalannya iaitu YB Mohd Mahdi Musa,” katanya.