Halaman

24 July 2013

KEMENANGAN TENGKU ZAIHAN TANDA SOKONGAN RAKYAT KEPADA BN - TPM

Laporan terus dari pusat penjumlahan undi : 
Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Haris Fadzillah 



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menyifatkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilhan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, merupakan manifestasi sokongan pengundi kepada BN.

“Saya memanjat kesyukuran kepada Allah atas kemenangan ini kerana ia amat bermakna bagi BN kerana kita mendapat majoriti yang lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu.

“Kemenangan ini jelas menunjukkan pengundi memberi kepercayaan kepada calon BN dan mereka percaya kepada BN yang mengotakan setiap janji yang dibuat oleh pemimpin kita,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan PRK Kuala Besut di Dewan Majlis Daerah Besut, malam ini.

Beliau berkata, walaupun peratus mengundi kali ini agak rendah iaitu 80 peratus berbanding 86.7 peratus pada PRU-13, yang jelas sokongan kepada BN semakian bertambah dengan majoriti yang lebih besar iaitu 2,592 undi (majoriti pada PRU-13 ialah 2,434 undi).

Katanya, BN juga menang di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) pada pilihan raya kecil ini, termasuk di dua PDM yang BN kalah pada pilihan raya umum lalu.

“Ini menunjukkan sokongan rakyat kepada BN semakin meningkat kerana mereka lebih gemar kepada corak kempen yang menitikberatkan kegiatan bercorak keagamaan sepanjang kempen pilihan raya ini yang kebetulan jatuh pada bulan Ramadhan,” ujar beliau.

Katanya, BN menjalankan kempen secara berhemah dan tidak menyerang peribadi calon serta mengelak daripada melakukan fitnah kepada pemimpin dan calon pembangkang.

Bagaimanapun, katanya, keadaan agak berbeza dengan kempen pembangkang yang masih menggunakan taktik yang sama seperti kempen mereka sebelum ini yang lebih gemar melempakan fitnah dan memburuk-burukkan kerajan dan pemimpin BN.

Justeru itu, katanya, pengundi di Kuala Besut dapat menilai keadaan ini dan mereka membuat keputusan untuk memilih calon BN berbanding Pas.