Halaman

02 July 2013

Kenaikan gaji tahunan penjawat awam bermula 1 Julai

Oleh: Noraini Jusoh

Setiap penjawat awam di seluruh Malaysia akan mendapat faedah pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) iaitu minimum RM80 dan maksimum RM 320 bermula semalam (1 Julai).

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Haji Mazlan Ngah berkata, kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk menerima pakai pekeliling daripada kerajaan Persekutuan untuk dipanjangkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun Negeri.

"Ini adalah anugerah daripada kerajaan Persekutuan, di mana semasa ucapan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dalam perjumpaan dengan penjawat awam pada bulan Mac lalu ada menyebut mengenai perkara ini.

"Perdana Menteri juga ada menyatakan untuk mengkaji semula kedudukan tangga gaji penjawat awam di bawah sistem saraan baru yang diperbaiki,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Yayasan Terengganu 2013 di Primula Beach Hotel, hari ini.



Katanya, perkara ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan sekiranya tiada sebarang masalah, segala urusan yang berkaitan dijangka akan diselesaikan sehingga akhir tahun ini.

Tambah beliau, bagi penjawat awam yang telah mencapai tangga gaji mati lebih daripada tiga tahun pula, akan diberi faedah sebanyak tiga kenaikan gaji tahunan.

"Walau bagaimanapun, perkara ini (tangga gaji mati) masih lagi menunggu pekeliling yang akan dikeluarkan oleh pihak JPA,” katanya.