Halaman

03 July 2013

Kerajaan sumbang RM10,000 kepada keluarga Allahyarham Ibrahim

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri bersetuju memberi sumbangan RM10,000 kepada keluarga Allahyarham Ibrahim Mohd Taib, 54, seorang pengiat seni teater yang lebih dikenali melalui sajak ‘Orang Ulu’ yang telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan telah putuskan perkara berkenaan dalam Mesyuarat Mingguan Exco hari ini.

“Kita akan serahkan sumbangan itu kepada keluarga Allahyarham dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Penandatanganan Memorandum Perjanjian antara Universiti Teknikal Mara Sdn. Bhd (UniKL) dengan Kolej Tesdec Sdn Bhd di Tingkat 18, Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya, usaha Allahyarham mempopularkan  loghat daerah Hulu Terengganu melalui sajak-sajak berbentuk nasihat ternyata mampu menarik orang ramai menghayati hasil ciptaannya itu.

Allahyarham Ibrahim yang bekerja sebagai pembantu veterinar di Jenagor, Hulu Terengganu dalam perjalanan pulang ke rumah terlibat dalam kemalangan Kilometer 38, Jalan Kuala Terengganu – Kuala Berang, Kampung Batu 23 dan meninggal dunia ditempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala.