Halaman

22 July 2013

Ketengah bakal bina 300 unit rumah pelbagai jenis

Oleh: Noraini Jusoh

Lembaga kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) merancang untuk membina 300 unit rumah pelbagai jenis dengan kos RM50 juta yang akan dibangunkan oleh anak syarikat Ketengah.

Pengurus Besarnya Wan Mat Amin Wan Daud berkata, disebabkan latar belakang penduduk yang berbeza dalam wilayah Ketengah, pihaknya mengambil pendekatan untuk mempelbagaikan jenis rumah yang akan dibina.

"Projek ini dijangka akan bermula pada akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

"Anggaran harga rumah adalah di bawah RM100 ribu bagi rumah kos rendah dan RM100 ribu ke atas bagi rumah kos sederhana,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Berbuka Puasa Ketengah Bersama Media di Primula Beach Hotel, baru-baru ini.

Katanya, pada tahun ini Ketengah telah menyiapkan 188 unit rumah di mana 133 unit dibina oleh Ketengah sendiri dan 65 unit oleh anak syarikat Ketengah.

Katanya, ekoran pertambahan penduduk dalam kawasannya mendorong Ketengah mengambil langkah proaktif untuk mendirikan rumah-rumah baru bagi memenuhi sebahagian daripada permintaan tersebut.

"Ini ditambah dengan perkembangan terkini yang berlangsung di wilayah Ketengah seperti pembukaan kampus UiTM Bukit Besi, Kolej Ketengah, Mara Ketengah International College, Kompleks Penjara dan sebagainya telah meningkatkan lagi permintaan perumahan di wilayah Ketengah,’ ujarnya.