Halaman

30 July 2013

Maidam sedia kaunter bergerak

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu menyediakan perkhidmatan kaunter bergerak menggunakan sebuah van, Bagi memudahkan pembayaran zakat dilakukan umat Islam di negeri ini.

Van tersebut akan bergerak ke seluruh negeri ini dan singgah di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah, pasar, jabatan-jabatan kerajaan serta sekolah. Inisiatif dimulakan sejak tahun lalu itu mendapat sambutan apabila semakin ramai yang mula mengunjungi van tersebut setiap hari.

 Menurut amil yang bertugas, Mohd. Azlan Khalid, van tersebut bukan sahaja beroperasi ketika bulan Ramadan malah pada bulan-bulan biasa bagi memudahkan orang ramai membayar zakat fitrah, zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat simpanan dan sebagainya.


"Kebanyakan pelanggan yang datang memang mengakui inisiatif van bergerak ini harus diteruskan kerana memberi peluang kepada orang awam yang sibuk dan tidak sempat ke pejabat Maidam untuk melunaskan zakat mereka.

 "Kita harap orang ramai dapat memanfaatkan inisiatif dilaksanakan Maidam ini," katanya ketika ditemui di Kuala Ibai di sini semalam.

 Menurutnya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang lokasi van bergerak itu di laman web Maidam bagi memudahkan urusan.

 Mereka juga boleh menghubungi Maidam jika mahu memohon kehadiran van bergerak tersebut ke satu-satu lokasi termasuk jabatan-jabatan kerajaan atau institusi pendidikan.

 Sementara itu, seorang pembayar zakat, Mohd. Hazimin Ghazali, 27, mengakui inisiatif yang dilaksanakan Maidam memberi kemudahan kepada masyarakat terutamanya kepada mereka yang terlalu sibuk bekerja.

 Jelasnya, lokasi van bergerak yang ditempatkan di kawasan pusat beli-belah contohnya membantu orang ramai mengingatkan mereka tentang tanggungjawab menunaikan zakat.

 "Saya harap perkhidmatan bergerak seperti ini dapat diperbanyakkan memberi peluang orang ramai menunaikan zakat terutama dalam bulan Ramadan selain menjimatkan masa," jelasnya.