Halaman

24 July 2013

MAYC bantu BN di Kuala Besut

Oleh: Aida Abd Rahman

Badan Bukan Kerajaan (NGO) turut menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan negeri yang diterajui parti Barisan Nasional (BN) dengan membantu kempen jentera parti itu sempena Pilihan raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Terengganu antara NGO yang aktif menyumbang tenaga, berkampung di DUN berkenaan sejak 12 Julai lalu bagi memastikan BN mampu mengekalkan mandat rakyat di kawasan itu.

Pengerusinya, Encik Amirullah Othman, berkata seramai 30 ahli dan pemimpin persatuan yang terdiri daripada MAYC negeri dan ahli jawatankuasa MAYC Besut dengan dibantu Presiden MAYC Kebangsaan, Encik Hasri Mohd Hadzir terlibat sepanjang dua minggu kempen berlangsung.

“MAYC mengambil langkah mengadakan pelbagai program sempena PRK ini bagi memberi kesedaran kepada golongan belia supaya terus memberi sokongan kepada BN sebagai parti yang terbukti mampu merealisasikan hak, cita-cita dan hala tuju belia selama ini.

“Kita juga mahu menjadi antara agen yang mampu memperkukuhkan perpaduan, semangat patritiotisma dan jati diri di kalangan generasi muda kepada negara yang dicintai,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Encik Amirullah berkata, pelbagai program diatur sepanjang berkampung di DUN berkenaan termasuk menjelajah kampung bagi mengunjungi pengundi-pengundi dan majlis berbuka puasa yang disertai lebih 50 belia setempat.

Dalam perkembangan lain, MAYC turut membuat laporan polis berhubung rasuah pilihan raya oleh pembangkang dengan memberikan petrol percuma kepada belia yang berumur 21 tahun ke atas di stesen minyak Caltex Kampung Nail.

Encik Amirullah berkata, laporan polis itu dibuat supaya pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap Pas yang dipercayai melanggar etika pilihan raya dengan merasuah pengundi muda sehari sebelum menjelang hari pembuangan undi hari ini.