Halaman

17 July 2013

MB akan lawat projek di Pulau Perhentian esok

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Harish Fadzillah 



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan melakukan lawatan kerja ke Pulau Perhentian pagi esok bagi meninjau projek-projek kerajaan bagi memastikan ia berjalan mengikut jadual.

Beliau berkata, antara projek besar yang sedang dilaksanakan di pulau peranginan tersebut ialah masjid baru dan rumah pangsa mengandungi 200 unit bagi menempatkan golongan miskin.

“Lawatan kerja saya ini bagi memastikan semua projek yang dilaksanakan di Pulau Perhentian berjalan lancar supaya rakyat mendapat faedah.

“Jika ada masalah yang berbangkit kita akan selesaikan dengan kadar segera supaya projek yang dilaksanakan tidak terencat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyurat Exco di Pejabat Daerah Besut, petang ini.

Mengenai projek perumahan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Menteri Besar berkata kerajaan negeri akan membina 500 unit rumah kos rendah lagi jika calon BN bagi Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman menang.

“Pada masa ini kita sedang merancang untuk membina 555 unit rumah kos rendah, 200 unit sedang dalam pembinaan. Ini bermakna penduduk di DUN ini akan mendapat 1,255 unit rumah tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan menghadapi kesukaran untuk merancang projek perumahan rakyat kerana masalah mendapatkan tanah bagi tujuan tersebut.

“Kerajaan terpaksa menimbus tanah paya bagi membina rumah dan ini melibatkan kos yang tinggi serta masa yang panjang.

“Kebanyakan tanah yang elok dan sessuai untuk dibina rumah kerajaan sudah bagi kepada rakyat,” katanya.


#prk kuala besut