Halaman

04 July 2013

MBHA gesa lebih ramai pengusaha hotel berdaftar sebagai ahli

Oleh: Noraini Jusoh

Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MBHA) menggesa lebih ramai pengusaha hotel bajet di seluruh negeri berdaftar sebagai ahli supaya kepentingan mereka lebih terjamin.

Setiausaha Agungnya, Emmy Suraya Hussein berkata, setakat ini hanya 1800 ahli yang berdaftar daripada kira-kira 6000 buah hotel bajet yang terdapat di seluruh Malaysia dan bagi Negeri Terengganu, lebih kurang 100 buah hotel bajet yang berdaftar dengan MBHA.

"Kita dapati kesedaran pengusaha hotel untuk menjadi ahli masih rendah mungkin disebabkan mereka kurang pendedahan atau tidak faham fungsi persatuan dan keuntungan yang bakal diperolehi sekiranya menjadi ahli persatuan.

"Justeru, menjadi tangungjawab kita untuk memberi pendedahan kepada mereka supaya lebih ramai menjadi ahli dan salah satu cara yang kita buat ialah dengan pergi ke setiap daerah untuk memberi penerangan kepada mereka mengenai kelebihan menjadi ahli persatuan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika ditemui di Majlis Hi-Tea Sekretariat TMT 2013 bersama Persatuan Hotel Bajet Malaysia, di Taman Tamadun Islam, hari ini.

Katanya, pihak persatuan juga menyokong kerajaan negeri dalam mempromosikan Negeri Terengganu sempena TMT 2013.

"Kita berhasrat untuk berjumpa dengan ahli-ahli bagi mengetahui masalah yang mereka hadapi.

"Tujuannya adalah untuk membantu mereka termasuk dalam menaik taraf hotel bajet berkenaan terutamanya dari segi kemudahan prasarana supaya pelancong yang datang ke negeri ini berpuas hati,” katanya.

Katanya, dengan adanya MBHA, kita dapat mengumpulkan maklumat-maklumat berkaitan hotel-hotel bajet ini di bawah satu laman web yang diwujudkan iaitu www.malaysiabudgethotels.com.

"Kepada mereka yang ingin mendapatkan sebarang maklumat berkaitan hotel bajet di seluruh negeri boleh melayari laman web tersebut atau berhubung terus dengan pihak persatuan di talian 03 42528313.

Tambah beliau, sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan di Kuala Besut tidak lama lagi, MBHA akan menyalurkan maklumat mengenai hotel-hotel bajet yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan kepada mereka yang memerlukan dengan bantuan ahli-ahli di Negeri Terengganu,” ujarnya.