Halaman

20 July 2013

Pemberian Kerajaan BN satu ibadah

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Harish Fadzillah 

Setiap pemberian yang dihulurkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada penduduk di negara ini merupakan ibadah dan selaras dengan tuntutan agama agar membantu golongan susah dan yang memerlukan pertolongan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.



Beliau menjelaskan, sebagai sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat, BN perlu membantu rakyat tanpa mengira masa kerana ia menjadi tanggungjawab BN membantu mereka, apatah lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.

“Jika ada pihak yang mengatakan sia-sia saja kita (BN) beri bantuan kepada rakyat, itu sudah lari dari hakikat yang sebenar.

“Memberi bantuan kepada rakyat ini merupakan satu ibadah, tanggungjawab dan ia memang dituntut oleh agama,” katanya ketika berucap pada Program Himpunan Warga Nelayan Dan Peladang Kuala Besut Bersama Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.



Hadir sama, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Seri Norainee Abdul Rahman; Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh; Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dan calon BN bagi PRK Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Timbalan Perdana Menteri turut menjelaskan Kerajaan Pusat menyampaikan bantuan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik, asalkan mereka daripada golongan susah dan memerlukan bantuan.

Katanya, kerajaan akan terus membela nasib rakyat di seluruh negara dengan memberi bantuan yang mampu meningkatkan ekonomi mereka. Beliau berharap penduduk di kawasan DUN Kuala Besut meneruskan sokongan kepada BN dengan mengundi Tengku Zaihan pada 24 Julai nanti.