Halaman

02 July 2013

PRK Kuala Besut – pemimpin Pas bertelagah

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Gendang belum lagi dipalu, tetapi pemimpin Pas mula bertelagah sama ada mahu meletakkan calon mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut (PRK) atau memboikotnya seperti yang disaran DAP.

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Dato’ Mustafa Ali, membuat kenyataan parti itu akan meneliti cadangan untuk memboikot PRK tersebut seperti yang disarankan sekutu Pas, iaitu DAP.

Bagaimanapun, hari ini Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, bingkas menangkis pandangan itu dengan mengaskan pihaknya telah pun membuat keputusan untuk bertanding.

 Mohd Abdul Wahid menegaskan pihaknya akan meletakkan calon mereka walaupun DAP mahu Pas memulau PRK berkenaan yang bakal diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negerinya, Dr Haji A Rahman Mokhtar.

Kenyataan Mohd Abdul Wahid ternyata bercanggah dengan kenyataan Mustafa yang menyatakan pihaknya akan meneliti cadangan Setiausaha Agung DAP. Lim Guan Eng, yang mencadangkan agar Pas memboikot PRK DUN Kuala Besut berikutan isu dakwat kekal dalam PRU-13 yang didakwanya tidak ditangani oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Mohd Abdul Wahid, Pas Terengganu telah mengadakan mesyuarat dan akan meletakkan calonnya manakala jentera parti sudah digerakkan.

Mengulas mengenai pertelingkahan pemimpin Pas berhubung isu berkenaan, Ketua Penerangan Umno negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ia memberi kelebihan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

 “Kita (Umno) telah pun mengatur gerak kerja bagi memastikan kemenangan calon BN pada PRK ini, sekaligus mengekalkan kedudukan 17 kerusi BN dan DUN Terengganu,” katanya.

Beliau yakin pucuk pimpinan BN akan memilih calon terbaik bagi menghadapi PRK dan pengundi di kawasan DUN Kuala Besut akan terus memberi sokongan kepada calon baru seperti yang dltunjukkan kepada Alahyarham Dr A Rahman.

DUN Kuala Besut mempunyai 17,679 pengundi berdaftar di mana 17,463 merupakan pengundi Melayu, Cina (118) dan lain-lain (84). Pada PRU-13 Alahyarham Dr A Rahman meraih 8,809 undi manakala calon Pas, Napisah ismail mendapat 6,375 undi.

Dato’ Haji Ahmad Razif yakin dengan kelebihan majoriti 2,434 undi yang diraih Alahyarham Dr A Rahman, BN mempunyai peluang besar bagi mempertahankan kerusi tersebut walau siapa pun calon Pas yang akan bertanding di situ kelak.