Halaman

03 July 2013

Ramai calon Umno layak tanding PRK Kuala Besut

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Umno Terengganu mempunyai ramai calon yang boleh diketengahkan untuk bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan tersebut.

Ketua Penerangan Umno Negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata ramai anak jati di kawasan DUN berkenaan yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan, termasuk agama boleh diketengahkan sebagai calon.

 “Umno sentiasa mempunyai pemimpin pelapis dan kita sedia memberi peluang kepada mereka yang layak dan berkemampuan untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pucuk pimpinan BN telah memutuskan untuk mengemukakan tiga nama untuk dipertimbangkan sebagai calon pada PRK Kuala Besut seperti yang diumumkan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, semalam.

Dato’ Haji Ahmad Razif berkata, pihaknya akan menerima siapa saja nama yang bakal diumumkan untuk bertanding mewakil BN pada PRK berkenaan.

 “Kita yakin pihak tertinggi BN akan memilih calon terbaik dan mampu meneruskan kecemerlangan BN bagi memastikan kemenangan BN pada PRK Kuala Besut,” katanya.

Beliau berkata, nama calon tersebut akan diumumkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi bagi PRK berkenaan.

“Pada masa ini Umno Terengganu dan BN telah menggerakkan jentera pilihan raya dan siap sedia menghadapi pilihan raya berkenaan,” katanya.