Halaman

03 July 2013

Sasar tanam kelapa sawit di kawasan 40,000 hektar

 Oleh: Suriati Ali dan Nurul Suraya Abd Sukur (Pelatih)

Anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Development Management (TDM) Berhad merancang dan berusaha memperluaskan projek penanaman pokok kelapa sawit di Kalimantan, Indonesia di kawasan seluas 40,000 hektar menjelang 2018.

 Ketua Pegawai Eksekutif TDM Berhad, Encik Badrul Hisham Mahari, berkata kumpulan perladangan TDM Berhad mempunyai potensi pertumbuhan positif di Kalimantan, di mana pihaknya berusaha ke arah penanaman pokok kelapa sawit tiga kali ganda daripada jumlah sekarang berikutan mempunyai tanah subur dan klim yang kondusif.

 

 “Pada masa kini, sebanyak 11,035 hektar telah ditanam atau 83.4 peratus daripada jumlah keseluruhan 13,237 hektar tanah yang dikeluarkan. TDM merancang untuk menanam sekurang-kurangnya 5,000 hektar pokok kelapa sawit baru setiap tahun di Kalimantan.

“Sebaik ladang kami di Kalimantan ditanam sepenuhnya dan matang, kami menjangka hasil tersebut menjadi penyumbang utama kepada bahagian perladangan.

 “Ladang-ladang di Kalimantan dijangka menjana pengeluaran yang ketara pada 2015, dan selepas itu kami akan mula mendapat hasil tuaian daripada operasi di Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi TDM Berhad di Kalimantan, Indonesia mendapat pujian Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, ketika mengadakan lawatan kerja di lokasi itu, pada 29 Jun lalu.

 Rombongan lain yang mengikuti lawatan itu, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Haji Abdul Razak Ismail; Pengerusi TDM Berhad, Dato' Roslan Awang Chik dan berapa pegawai kanan kerajaan negeri.

 Lawatan tersebut dianjurkan sebagai sebahagian daripada usaha Kumpulan untuk mengemas kini pembangunan operasi perladangan TDM di Indonesia kepada Kerajaan Negeri.