Halaman

30 July 2013

Sayur kampung laris

Oleh; Esah Abdullah 

Keberkatan bulan Ramadan seiring dengan kemurahan rezeki kepada peniaga dan penjaja yang menjual pelbagai keperluan harian termasuk bahan sayuran kampung yang sangat laris dipasaran.

Permintaan terhadap bahan campuran sayuran kampung seperti pucuk paku merah (pucuk midin), daun kaduk, cekur manis, pucuk ubi, daun kesum, kangkung dan sebagainnya begitu mendadak sepanjang Ramadan.

Seorang peniaga di Pasar Chabang Tiga, Puan Amidah Jaafar, 62 berkata, pada bulan puasa dia menambah stok sayur-sayur kampung sebab berdasarkan pengalaman tahun-tahun sebelum permintaannya bertambah berbanding hari biasa.

“Jika hari biasa sayur-sayur ini hanya terjual sekitar 10 ikat sahaja sehari, tetapi pada bulan Ramadan permintaan bertambah. Sebab itu saya menambah jualan sehingga 100 ikat sehari berdasarkan pengalaman sebelum ini.

“Adakalanya 100 ikat boleh habis dalam sehari sebab ada yang membeli untuk membuat bubur lambuk dengan kuantiti yang banyak. Harga bagi satu ikat sayur kampung yang telah disertakan sekali, daun pucuk midin, daun pucuk ubi kayu dan juga daun kaduk serta beberapa daun sampingan lain dengan harga RM2,” katanya.

Tambahnya, selain itu, mungkin setiap ikat itu juga ada tambahan sayur lain yang menyebabkan harganya berbeza,” katanya yang menjual dengan harga RM1.50 satu ikat.

Seorang lagi peniaga, Puan Fatimah Senik, 50, berkata, sayuran ini merupakan penyeri dalam hidangan bubur lambuk, jika tiada bahan tersebut atau bahannya kurang rasa bubur lambuk menjadi kurang enak.

Katanya, jika hari biasa, permintaan tidaklah selaris semasa Ramadan sebab bubur lambuk biasanya dibuat dalam kuantiti yang banyak semasa bulan puasa dan setiap peniaga mungkin menjual dengan kadar berbeza bergantung orang tengah.