Halaman

03 July 2013

Sukma: Terengganu pungut 16 emas sehingga jam 3.00 petang

Oleh: Suriati Ali

Terengganu berjaya memintas Wilayah Persekutuan, sejak semalam dengan kedudukan di tangga pertama pungutan pingat Sukan Malaysia(Sukma) yang masuk hari ketujuh, hari ini.

 Kontinjen `Hanelang’ itu menambah enam lagi emas menerusi acara mendayung (lima emas) dan woodball (1 emas) di mana sekali gus menjadikan pungutan keseluruhan 16 pingat emas, 10 perak dan 8 gangsa yang berjaya diraih Terengganu sehingga jam 3.00 petang ini.

 Hari ini, sebanyak 24 pingat emas lagi bakal menjadi rebutan dengan tujuh acara bakal dipertaruhkan iaitu woodball, renang berirama, polo air, gimnastik, bola jaring, mendayung dan softball.

Kontinjen Terengganu kini mengejar kejuaraan kelima berturut-turut demi maruah negeri yang pernah dianggap lemah dalam bidang sukan suatu ketika dahulu.

 Terengganu yakin mampu mengekalkan kejuaraan kerana semua atlet telah membuat persediaan secukupnya untuk memberikan cabaran pada kejohanan itu.

 Pada Sukma kali ini Terengganu yang menyasarkan 30 pingat emas menghantar seramai 330 atlet membabitkan 16 acara sukan.

Pada Sukma di Pahang tahun lalu Terengganu muncul juara keseluruhan Sukma buat kali keempat berturut-turut dengan memperolehi 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa.

 Ia dianggap kejayaan terbaik yang dilakar Terengganu yang meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa ketika kali pertama kontinjen yang digelar Terengganu Hanelang itu muncul juara kali pertama Sukma pada edisi 2008 di bumi sendiri.