Halaman

15 July 2013

TH Hotel & Convention Centre Terengganu agih bubur lambuk percuma

Oleh: Noraini Jusoh

Dalam usaha memperkenal dan mempromosikan hotel mereka, TH Hotel & Convention Centre Terengganu mengambil peluang mengagihkan bubur lambuk secara percuma kepada orang ramai.

Pengurus Besarnya, Malizan Zakaria berkata, ia adalah satu program kemasyarakatan untuk mengeratkan silaturahim antara kakitangan hotel dan orang awam.

"Buat pertama kali sempena bulan Ramadhan, kami mengadakan program ini untuk mendekatkan lagi TH Hotel dengan masyarakat luar supaya mereka lebih mengenali hotel kami.

"Bubur lambuk ini dimasak sendiri oleh chef kami dan turut mendapat kerjasama JKKK Kampung Angsa untuk menjayakan program ini," katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Beliau berkata bubur lambuk dipilih kerana ia antara pilihan utama ketika bulan Ramadhan. Bubur yang dimasak menggunakan pelbagai rempah ratus, menjadikan ia sajian unik untuk berbuka puasa.

"Bubur lambuk sudah menjadi makanan tradisi penduduk negeri ini dan ia sangat sinonim dengan bulan Ramadan. Justeru, menjelang bulan puasa, pasti ramai yang akan tertunggu-tunggu untuk menikmati sajian ini.

"Kami yakin dan percaya walaupun pengagihan bubur lambuk ini diadakan di merata tempat, namun setiap chef pasti mempunyai resepi dan sentuhan mereka tersendiri yang menjadi tarikan utama penduduk setempat.

"Bagaimanapun, kami akan cuba memilih dan menambah hidangan lain selain bubur lambuk untuk mempelbagaikan lagi juadah percuma ini pada masa akan datang," katanya.

Malizan berkata melihat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai, beliau berhasrat untuk menjadikan program itu sebagai salah satu program tahunan TH Hotel & Convention Centre Terengganu.

Pengagihan bubur lambuk diadakan di hadapan bangunan hotel bermula semalam (14 Julai) hingga akhir Ramadan dari jam 4.30 petang setiap hari.

Pada program berkenaan, sebanyak 200 bungkus bubur lambuk diberikan secara percuma kepada orang ramai.

Selain itu, TH Hotel turut menyediakan buffet makan malam Kibas berharga RM59 untuk dewasa dan RM41 untuk kanak-kanak. Antara sajian utama yang disediakan adalah Kibas BBQ, Nasi Mandy dan lebih dari 100 jenis masakan dan kuih muih.