Halaman

31 July 2013

Yayasan Terengganu agih 800 bungkus bubur lambuk percuma

Oleh: Noraini Jusoh dan Nurul Suraya Abd Sukor



Yayasan Terengganu mengagihkan 800 bungkus bubur lambuk percuma kepada pengguna jalan raya di laluan Jalan Sultan Ismail bagi menyemarakkan lagi sambutan Ramadan.

Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Zakaria Yusof berkata, tradisi mengagihkan sumbangan kepada masyarakat dilaksanakan setiap tahun oleh agensi berkenaan menjelang Aidilfitri.

"Tahun ini merupakan tahun kelima pihak kami mengadakan program seumpama ini dengan juadah yang berlainan.

"Jika tahun lepas diagihkan hidangan lauk berasaskan daging, kali ini kita sediakan bubur lambuk untuk masyarakat di luar sana,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita selepas selesai menyempurnakan pemberian bubur lambuk kepada penguna jalan raya di hadapan jabatan berkenaan, hari ini.

Katanya, pengagihan bubur lambuk tersebut adalah sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat pihaknya terhadap masyarakat khususnya di bulan mulia ini.

Haji Zakaria berkata, seramai 40 orang kakitangan Yayasan Terengganu bergotong-royong memasak tiga periuk bubur lambuk sejak pukul 8 pagi untuk diedarkan kepada orang ramai.