Halaman

10 August 2013

ADUN Kuala Besut Tengku Zaihan tidak berhasrat bertanding rebut jawatan dalam parti


Tengku Zaihan akan beri tumpuan kepada tugas menjaga rakyat

Oleh: Mohammad Ishak 

"Saya tidak berminat untuk merebut jawatan parti, sebaliknya ingin memberi tumpuan kepada tugas sebagai wakil rakyat," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut,Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Tengku Zaihan , yang baru memenangi kerusi DUN berkenaan, tidak berhasrat untuk bertanding merebut mana-mana jawatan penting dalam parti peringkat bahagian Besut.,sebaliknya, beliau menyerahkan kedudukannya kepada Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh untuk menentukan status beliau dalam barisan kepemimpinan parti bahagian itu.

“Saya lebih berminat untuk mengurus kerja wakil rakyat yang memerlukan lebih banyak tumpuan kepada penduduk Kuala Besut,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Pejabat Penyelaras DUN Kuala Besut, Alur Pisang, dekat sini hari ini.

Tengku Zaihan, 37, ketika ini hanya memegang jawatan ahli jawatankuasa Umno Cawangan Kampung Nail,Kuala Besut menang kerusi DUN Kuala Besut dalam PRK bulan lalu.

Katanya, beliau sedia mengikut apa sahaja pucuk pimpinan parti kerana matlamatnya ingin bekerja untuk rakyat.

Sebelum ini, ada desas desus dikalangan golongan pemuda yang mahu Tengku Zaihan bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Besut sebagai usaha meneruskan kariernya dalam politik.

Jawatankuasa Ketua Pemudu Umno Besut, akan berlaku kekosongan berikutan ketua sekarang,ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa, akan melepaskan jawatan itu kerana cukup umur.