Halaman

29 August 2013

Ahli rukun tetangga dilindungi insuran

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan mengiktiraf peranan ahli-ahli Rukun Tetangga (RT) yang membantu menjaga ketenteraman dalam masyarakat dengan menyediakan insuran perlindungan berkelompok kepada mereka yang ditimpa kemalangan ketika bertugas.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu, Encik Baharuddin Daud berkata, warga rukun tetangga berkorban masa dan tenaga menjaga keamanan dalam kampung tanpa mengharap imbuhan.

“Kerajaan menghargai pengorbanan mereka dan mewujudkan skim insuran bagi membantu meringankan beban mereka bila ditimpa kemalangan,” katanya selepas merasmikan Program Secangkir Kasih Sekalung Budi di Terengganu Equestrian Resort(TER) , Kuala Ibai semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Batu Rakit yang juga Pengerusi KRT Terengganu Utara, YB Haji Bazlan Abdul Rahman dan Pegawai JPNIN Daerah Kuala terengganu, Encik Kamaruddin Ali serta 500 orang ahli RT daerah Kuala Terengganu.

Katanya, setiap ahli yang ditimpa kemalangan ketika menjalankan bertugas dan meninggal dunia akan mendapat RM40,000 manakala ahli meninggal di luar tugas menerima RM20,000 dan khairat kematian RM1,000.

Beliau juga meminta RT menghidupkan aktiviti Jiran Muda dan Jiran Wanita agar setiap lapisan masyarakat tidak terpinggir dan bersama menjayakan aktiviti dalam kampung.

“Setiap RT juga digalakkan mengadakan kerjasama dengan agensi lain menjayakan program dalam komuniti masing-masing serta cuba mencari dana sendiri bagi membiayai program,” katanya.

Katanya, jabatan menyediakan geran tahunan RM6,000 kepada setiap RT yang aktif dan digalakkan juga mencari mana-mana pertubuhan bukan kerajaan atau agensi untuk berkongsi bajet bagi menjayakan aktiviti yang diadakan.