Halaman

01 August 2013

Habsah, Mazlan terharu nasib anak seni terbela

Oleh: Aida Abd Rahman, Nurul Suraya Sukur dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar (Pelatih)

Nasib dua aktivis seni Terengganu terbela apabila kerajaan negeri menyerahkan sumbangan RM10,000 seorang sebagai menghargai sumbangan mereka dalam menyemarakkan industri itu di negeri ini.

Bantuan khas berkenaan lebih bermakna apabila disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee kepada mereka, ketika Ramadan dan lebaran yang bakal menjelang seminggu lagi.

Dato' Mohd Jidin Shafee ketika di rumah Puan Habsah.
Sumbangan kepada dua aktivis seni berkenaan, Puan Habsah Jusoh,65, dan Encik Mazlan Zakaria, 53, disampaikan di rumah masing-masing, di Kampung Tasek, Bukit Payong dan Flat Kampung Kolam, Kuala Terengganu, semalam.

Penyanyi lagu asli dan rakyat Terengganu, Puan Habsah, terharu dengan keprihatinan kerajaan dan menganggapnya sebagai rezeki serta rahmat sempena kedatangan Syawal tidak lama lagi.

 “Saya berharap agar kerajaan negeri memberikan sumbangan secara berterusan dan tidak terhenti setakat ini sahaja. Bukan sahaja kepada saya, malah kepada semua anak seni kelahiran Terengganu yang senasib dengan saya.

Puan Habsah Jusoh
 “Saya tidak pernah menerima bantuan daripada mana-mana pihak sebelum ini, selain daripada kerajaan negeri yang turut menyumbang kerusi roda serta RM1,500 sebelum ini,” katanya yang terkenal dengan lagu Watimang Landak dan Ulek Mayang.

 Beliau yang sudah tiga tahun mengidap penyakit strok, terpaksa bergantung sepenuhnya dengan bantuan anak perempuannya dalam menjalani kehidupan seharian.

 Selain itu, beliau berkata, minat dalam bidang seni terutama lagu asli dan rakyat tidak pernah padam meskipun mengidap penyakit strok dan membataskan pergerakan beliau.

 “Walaupun sudah berada dalam kategori usia emas, saya akan meneruskan minat dalam bidang seni. Saya mungkin tidak menyanyi lagi tetapi akan melakukan khidmat masyarakat seperti menjadi tenaga pengajar kepada generasi muda yang berminat dengan lagu-lagu asli,” katanya.

Sementara Encik Mazlan begitu terharu dan bersyukur dengan kesudian kerajaan negeri menerusi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Dato’ Mohd Jidin yang sanggup berkunjung ke rumahnya bagi menyampaikan sumbangan itu.

“Terima kasih, YAB Menteri Besar (Dato’ Seri Haji Ahmad), Dato’ Mohd Jidin serta semua persatuan dan penggiat seni yang membantu meringankan beban yang sedang saya hadapi selepas kaki dipotong dan tidak mampu bekerja seperti sediakala.

“Hari raya kali ini lebih bermakna kepada kami. Saya tidak mahu boros berbelanja dengan sumbangan ini sebaliknya akan berbincang dengan isteri, Che Asmah sulong, 47, dan kemungkinan akan menggunakan wang ini bagi memulakan perniagaan kedai makan, ” katanya.

Beliau yang pernah menjadi juara Bakat TV bersama kumpulan Pok Su (Mazlan) dan Pok De (Azmi) pada era 1990-an turut mengharapkan aktivis seni lain yang senasib dengan mereka juga akan mendapat pembelaan sewajarnya dari pihak kerajaan.