Halaman

27 August 2013

Hotel Grand Puteri guna peruntukan Jawhar - Maidam

Oleh Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa pembinaan Hotel Grand Puteri yang terletak berhampiran Masjid Putih Kuala Terengganu menggunakan wang zakat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Haji Mohd Rozali Saleh berkata, hotel bertaraf tiga bintang berharga RM41.69 juta itu dibangunkan dengan  peruntukan daripada Jabatan Waqaf Zakat dan Haji (Jawhar).

“Saya tidak mahu masyarakat keliru dengan dakwaan tersebut kerana Maidam tidak pernah menggunakan duit zakat untuk membangunkan hotel atau bangunan lain di negeri ini,” katanya kepada pemberita di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) di Wisma Darul Iman.

Katanya, Hotel Grand Puteri dibangunkan di atas sekeping tanah wakaf yang dipegang oleh Maidam dan merupakan hotel wakaf pertama di negeri ini berkonsepkan Islam.

Hotel ini juga katanya merupakan hotel ketiga di bawah pengurusan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) di negara ini dan majlis Penyerahan kunci kepada Maidam telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha jabatan Perdana Menteri, Dato’ Hajah Hasnah Salleh pada 8 April manakala operasi sepenuhnya bermula Mei lalu.

Dato’ Haji Mohd Rozali berkata selain Hotel Grand Puteri, sebuah lagi bangunan milik Maidam iaitu Bangunan Akademi Kulinari di Pulau Kerengga Marang (RM1 juta), Asrama Pelajar di Besut dan bangunan perniagaan berhampiran Hospital jertih juga dibangunkan menggunakan peruntukan Jawhar.

“Kita banyak mendapat peruntukan Jawhar untuk membina bangunan di atas tanah-tanah wakaf milik Maidam di negeri ini dan amat berterima kasih terhadap egensi itu yang membantu Maidam,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pihak Maidam juga sedang mengadakan perbincangan dengan pihak Jawhar untuk memajukan beberapa lagi tanah wakaf milik Maidam di negeri ini.