Halaman

23 August 2013

Jangan memasak makanan berulang lebih dua kali- pakar pemakanan

Oleh; Esah Abdullah

Peniaga kedai makan diingatkan tidak memasak makanan secara berulang lebih daripada dua kali bagi mengelak makanan berkenaan boleh menyebabkan keracunan kepada mereka yang memakannya.

Tenaga Pengajar Pengendali Makanan, Pusat Pengembangan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec), Puan Suriati Nordin berkata, ada kalangan peniaga makanan menyediakan makanan yang dimasak secara berulangan lebih dua kali.

Puan Suriati sedang mengatakan sesuatu kepada peserta kursus

Menurutnya, apabila makanan yang telah dimasak secara berulangan zat makanan semakin berkurangan dan risiko tercemar adalah tinggi.

“Makanan yang tidak habis sudah tidak boleh dijual untuk esoknya, namun makanan seperti ayam atau ikan goreng mungkin boleh dimasak untuk hidangan seperti ayam atau ikan masak merah dan sebagainya.

“Sekiranya, ia tidak habis pada hari berkenaan makanan itu sudah tidak boleh dimasak dan seterusnya dijual kepada pelanggan untuk hari seterusnya sebaliknya cukup hanya dua kali sahaja,” katanya semasa mengendalikan Taklimat Pengendali Makanan kepada 32 Peserta Kursus Latihan Pengendali Makanan 2013 (KLPM) di Hotel Grand Puteri Kuala Terengganu, semalam.

 Menurutnya, makanan juga tidak boleh disedia terlalu awal sebaliknya perlu disediakan empat jam sebelum dihidang.

“Manakala makanan atau sayuran yang disimpan dalam dalam peti sejuk juga perlu disimpan dalam kedaan suhu dua hingga tiga darjah celsius bagi mengelak makanan tidak cukup sejuk atau terlampau sejuk.

“Mereka juga perlu menggunakan pembungkusan makanan seperti menggunakan polistren atau kertas pembungkus dan elak menggunakan suratkhabar untuk membungkus makanan,” katanya.

Selain pengendali makanan, perkakasan dan juga lokasi juga perlu sentiasa berkeadaan bersih, tidak merokok dan sebagainya di bawah Akta Makanan 1983 dan termaktub di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.
 

No comments: