Halaman

02 August 2013

JPNT anjur Pertandingan Keceriaan Merdeka 2013

Oleh: Aida Abd Rahman dan Nurul Suraya Abdul Sukur (Pelatih)

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) menganjurkan Pertandingan Keceriaan Merdeka 2013 sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-56 bagi memupuk semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Pertandingan kali keempat yang bermula pada 1 Ogos 2013 dan akan berakhir pada 12 Ogos depan dibahagi kepada lapan kategori iaitu bangunan kerajaan, bangunan swasta, kampung (tradisional/kampung baru/kawasan estet/Felda), sekolah, taman perumahan, individu (kediaman), pintu gerbang dan Anjung Komuniti 1Malaysia.

Menurut kenyataan JPNT, pertandingan itu diharap dapat membantu meningkatkan kesedaran dan penghayatan kemerdekaan negara kepada masyarakat selain menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan.

Pemenang peringkat negeri akan mewakili ke peringkat kebangsaan dan hadiah lumayan disediakan kepada yang berjaya menjadi pemenang mengikut kategori masing-masing pada peringkat kebangsaan.

Borang penyertaan boleh didapati di Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Tingkat Tiga, Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu atau Pejabat Penerangan Daerah.

Mereka yang berminat boleh melayari laman web www.penerangan.gov.my/terengganu atau telefon 09 6267826.

Disediakan oleh :
Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat
Jabatan Penerangan Negeri Terengganu
 Tel: 09 6267826