Halaman

16 August 2013

Kekal ikatan silatulrahim dalam komuniti

Oleh; Esah Abdullah

Semua anggota masyarakat perlu saling menyokong antara satu sama lain agar ikatan silatulrahim sentiasa kekal berpanjangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Batu Rakit YB Haji Bazlan Abdul Rahman berkata, hidup bermasyarakat ibarat aur dengan tebing, saling memerlukan antara satu sama lain.

“Hubungan erat antara jiran tetangga disertai dengan sifat kasih sayang mampu mewujudkan keharmonian dalam masyarakat dan ia dituntut dalam agama,” katanya di majlis penyampaian sumbangan Hari Raya kepada penduduk Kampung Bukit Wan, Batu Rakit baru-baru ini.

Katanya, kekalkan semangat kerjasama dalam komuniti dengan mengatur pelbagai aktiviti yang menjurus kepada kesepakatan dan perpaduan masyarakat.

“Selaku wakil rakyat , saya sentiasa menyokong usaha yang dijalankan di peringkat kampung serta sedia membantu apa saja yang diperlukan,” katanya.

Dalam majlis berkenaan seramai 128 keluarga telah menerima sumbangan barangan keperluan harian berupa beras, gula, tepung, susu, milo serta jus bagi membantu penduduk kampung membuat persiapan menyambut Aidilfitri.