Halaman

25 August 2013

Kenyir destinasi 'bird watching'

Penjenamaan Tasik Kenyir sebagai destinasi ‘bird watching’ iaitu lokasi utama memerhati burung mampu memberi impak kepada peningkatan pengunjung bagi aktiviti tersebut, sekali gus memperkenalkan lagi Tasik Kenyir sebagai destinasi ekopelancongan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohd Jidin Shafie berkata, terdapat 290 spesies burung direkodkan di Tasik Kenyir termasuklah sembilan daripada 10 spesies enggang yang sebelum ini hanya dikenali di Sarawak. “Kawasan Tasik Kenyir sememangnya kaya dengan pelbagai spesies mamalia dan burung, malah ia menyamai kepelbagaian spesies di Taman Negara. Selain burung, terdapat 40 spesies mamalia turut direkodkan melalui perangkap kamera.
“Aktiviti memerhati burung ini adalah riadah yang sihat untuk semua usia di persekitaran alam semula jadi dan mampu menjadi salah satu daya tarikan pelancong, khususnya untuk mengenali serta menambah pengetahuan mengenai haiwan ini," katanya. Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kenyir Bird & Nature Quest 2013 di sini, kelmarin, yang disertai 80 peserta termasuk enam dari luar negara yang mana seminar itu diadakan selama dua hari. Beliau yang juga Adun Permaisuri berkata, seminar itu dilihat mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta pelbagai latar belakang dan beliau turut mencadangkan program tersebut diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun. “Seminar ini menumpukan pemikiran generasi muda dan pengenalan interaksi antara haiwan dengan manusia. "Inti pati diperoleh ini perlu disebarkan kepada penuntut di institusi pengajian kerana mereka inilah sandaran masa hadapan terhadap program yang diadakan hari ini,” katanya.