Halaman

22 August 2013

Kerajaan peruntukkan RM600,000 Insentif Perkahwinan ibu/bapa tunggal

Oleh; Esah Abdullah 

Kerajaan memperuntukkan RM600,000 setahun sebagai insentif perkahwinan kepada ibu dan bapa tunggal yang akan berkahwin dengan pasangan masing-masing.

Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) Encik Mohd Safaruddin Mustaffa berkata, program ini mula diperkenalkan awal Januari lalu.


“Kita sasarkan 300 orang ibu dan bapa tunggal diseluruh negeri bakal mendirikan rumah tangga tahun ini,” katanya kepada pemberita di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di perkarangan Pejabat YPKT hari ini.

Setakat ini katanya pihaknya telah menerima permohonan daripada 266 orang ibu dan bapa tunggal seluruh negeri yang layak menerima insentif berkenaan.

Menurutnya, setiap ibu dan bapa tunggal akan menerima insentif perkahwinan sebanyak RM2,000 seorang dan jika ibu tunggal bertemu jodoh dengan bapa tunggal mereka akan menerima RM4,000.

“Setakat ini kita merekodkan 96 pasangan telah bertemu jodoh antara ibu dan bapa tunggal manakala 68 ibu tunggal berlahwin dengan teruna dan 26 bapa tunggal berkahwin dengan anak dara,” katanya.

Menurutnya, jumlah ibu dan bapa tunggal yang telah mendirikan rumah tangga mengikut Parlimen ialah Besut (18 pasangan), Kuala Nerus (12 pasangan), Kuala Terengganu (23 pasangan), Marang (29 pasangan), Hulu Terengganu (25 pasangan), Dungun (25 pasangan), Kemaman (47 pasangan) dan Setiu (11 pasangan).

“Sehingga ini 50 pasangan ibu dan bapa tunggal telah menerima insentif bagi perkahwinan masing-masing dan majlis  pelancaran pemberian insentif perkahwinan telah dilakukan oleh Menteri Besar di Besut baru-baru ini,” katanya.
 

No comments: