Halaman

18 August 2013

Kerajaan tunggu arahan MKN untuk pindah pelajar di Mesir

Oleh; Esah Abdullah dan Nurul Suraya Sukur (pelatih)
Gambar oleh Zulkipli Putra 

Kerajaan negeri akan mengikut pelan penyelarasan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan bersedia untuk membawa pulang pelajar apabila perintah evakuasai di keluarkan oleh kerajaan Malaysia.

YB Ghazali Taib (kanan) bersama Dato' Haji Mohd Rozali ketika membuat sidang akhbar  mengenai keselamatan dan misi membawa pulang pelajar Terengganu di Mesir mengikut pelan penyelarasan MKN di Kuala Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib berkata, pelajar dinasihat mematuhi pekeliling yang dikeluarkan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Education Malaysia Egypt.

“Kita tidak akan bertindak bersendirian sebaliknya menunggu arahan dari MKN dan sedang memantau situasi di Mesir dari semasa kesemasa.

 “Setakat ini keadaan masih terkawal dan lokasi kediaman pelajar kita juga jauh dari kawasan berlaku rusuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di Kompleks Seri Iman hari ini.


Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Dato’ Haj Mohd Rozali Salleh dan Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Terengganu Haji Razali Mahmud.

Katanya, pelajar dinasihatkan mematuhi arahan perintah berkurung daripada 7 petang hingga 6 pagi serta menjauhkan diri daripada kawasan demostrasi di samping menyediakan duit, makanan dan barang keperluan secukupnya.

 “Pelajar dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang maklumat anti kerajaan Mesir atau berkaitan pergolakan di negara berkenaan di laman sosial seperti Facebook dan Twitter atas dasar keselamatan,” katanya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan pelajar negeri ini yang sedang menuntut di Mesir ialah 620 orang termasuk yang dibantu oleh Maidam dan juga pelajar persendirian.

“Namun sebahagian mereka telah pulang ke tanah air sebaik selesai peperiksaan baru-baru ini cuma yang tinggal ialah 218 pelajar dalam bidang perubatan dan 32 orang yang sedang mengikuti pengajian Islam manakala 28 orang pelajar baru sampai akan ditempatkan di asrama Terengganu ,” katanya.

YB Ghazali juga berharap ibu bapa dan pejaga pelajar tidak bimbang mengenai keselamatan anak-anak mereka kerana kerajaan telah menghantar pegawai bagi memantau serta menjaga pelajar kita di sana.

“Keselamatan pelajar kita di sana menjadi keutamaan kerajaan dan jika keadaan bertambah rumit kita akan lakukan sesuatu termasuk memindahkan mereka ke negara berdekatan,” katanya.