Halaman

05 August 2013

Maidam agih zakat lebih tinggi, ikut kadar baru bermula tahun ini

Oleh: Aida Abd Rahman dan Nurul Suraya Abd Sukur (pelatih)
Gambar: Farah Farina Mohmad Zali (pelatih)

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperkenalkan kaedah baru pengagihan wang zakat kepada asnaf fakir dan miskin sempena Ramadhan berjumlah RM300 seorang dan pertambahan RM50 bagi setiap tanggungan tanpa had, bermula tahun ini.

Sebelum ini, Maidam mengagihkan RM350 bagi seorang hingga tiga tanggungan dan RM450 jika lebih dari tiga tanggungan.
Dato’ Mohd Rozali Saleh
 Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Dato’ Mohd Rozali Saleh, berkata bermula tahun ini, pihaknya mengagihkan bantuan zakat mengikut kadar baru yang membolehkan penerima menikmati kadar yang jauh lebih tinggi dan hanya diagihkan kepada mereka yang benar-benar layak sahaja.

“Pada tahun ini Maidam menyediakan bantuan kepada fakir dan miskin sempena Ramadhan khas kepada yang berdaftar dengan Maidam serta penerima bantuan lain, khususnya program e-Kasih yang melibatkan lebih 6,000 orang.

“Selain itu, kita memutuskan bahawa bantuan hari raya ditiadakan bagi mengelak salah agihan wang zakat kerana sebelum ini bantuan itu dibayar menerusi `sinf fakir miskin’ tetapi penerimanya bukan semuanya terdiri dari fakir miskin,” katanya kepada Teganukita sempena program pengagihan wang zakat kepad asnaf fakir dan miskin sempena Ramadhan 1434H/2013M, di Dewan Terbuka Maidam, Kuala Terengganu, hari ini.

Seramai 4,382 penerima zakat dari Kuala Terengganu menerima bantuan yang diagihkan mengikut Dewan Undangan Negeri masing-masing, membabitkan peruntukan RM1,852,900 sepanjang dua hari sehingga esok.

Penerima zakat ini begitu gembira kerana mendapat bantuan MAIDAM
Dato’ Mohd Rozali berkata, pada tahun ini, jumlah ketua isi rumah di seluruh Terengganu yang layak menerima bantuan itu adalah seramai 7,018 dengan 24,162 ahli isi rumah yang melibatkan peruntukan RM2,962, 600.

Daripada jumlah itu, daerah lain seperti Kemaman melibatkan 666 penerima (RM292,050); Marang 582 penerima (RM239,850); Hulu Terengganu 486 penerima (RM218,350); Besut 376 penerima (RM151,800); Dungun 353 penerima (RM137,050) dan Setiu 173 penerima (RM70,600).

“Fakir miskin yang ditetapkan oleh Maidam adalah berdasarkan kadar per kapita RM500 seorang pendapatan bulanan yang dikira berdasarkan perdapatan suami atau isteri yang dibahagikan kepada semua bilangan ahli isi rumah.

“Maidam bagaimanapun belum memuktamadkan jumlah keseluruhan penerima bantuan ini memandangkan kita percaya masih ada asnaf fakir dan miskin yang belum mengisi borang dan berdaftar dengan kita untuk siasatan lanjut serta kelulusan apakah bentuk bantuan yang sepatutnya layak mereka diterima,” katanya.

Beliau juga mengingatkan semua penerima bantuan itu, sekiranya tidak layak menerima zakat kerana mereka bukan dalam kategori fakir dan miskin, penerima wajib menolak bantuan itu berikutan haram memakan wang yang bukan hak kita, selain tidak selamat dan berdosa besar.

Beliau berkata, Maidam juga sebagai organisasi yang mengurus bantuan zakat berpegang kepada amanah, mengelak ketirisan, penyelewengan dan campur tangan pihak ketiga yang tidak sihat dalam setiap pelaksanaan projek, program, aktiviti dan inisiatif yang dianjurkan jabatan itu.