Halaman

25 August 2013

Maidam pindah 40 pelajar tajaan ke pengurusan YT

Oleh; Esah Abdullah 

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu telah memindahkan 40 daripada 95 pelajar tajaannya di Jordan ke bawah pengurusan Yayasan Terengganu (YT) untuk meneruskan pengajian baru yang bermula bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Dato’ Haji Mohd Rozali Saleh berkata, keputusan berkenaan diambil setelah penilaian semua dibuat termasuk melihat latar belakang keluarga pelajar terbabit.

“ 55 pelajar lagi dikekal bersama Maidam dan menerima biasiswa adalah kalangan keluarga fakir miskin,” katanya kepada pemberita di majlis Rumah Terbuka Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di Wisma Persekutuan hari ini.

Katanya, walaupun mereka di bawah pengurusan YT, pelajar berkenaan berpeluang dan layak untuk diberi biasiswa jika memperolehi keputusan cemerlang ini kerana perjanjian pinjaman di bawah YT itu adalah pinjaman yang boleh diubah.

``Kalau pelajar bagus dan memperolehi keputusan yang cemerlang, pinjaman tersebut akan menjadi biassiswa,’’ katanya.

Tambahnya, ibu bapa dan pelajar terbabit tidak perlu bimbang dan risau mengenai perkara berkenaan kerana pinjaman berkenaan boleh diubah kepada biasiswa jika mereka mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan universiti.

``Ada salah faham dan kekeliruan di kalangan ibu bapa dan pelajar kerana menganggap jika mereka diletakkan di bawah pengurusan YT akan dianggap pinjaman sampai bila-bila,’’

 ``Jika pelajar menunjukkan kecemerlangan dan memperolehi keputusan yang telah ditetap, secara otomatik pinjaman akan menjadi biasiswa,’’ ujarnya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) itu berkata, pada masa ini Maidam hanya menaja seramai 55 pelajar yang sedang menuntut di Jodan dalam jurusan perubatan, kepakaran ulama dan agama.