Halaman

18 August 2013

Majlis raya PBPPPM di MRSM Besut

Oleh: Aida Abd Rahman

Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Terengganu (PBPPPM) bakal mengadakan Majlis Perjumpaan Hari Raya Aidilfitri 2013 di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di Jalan Tembila, Besut pada 24 Ogos ini (Sabtu).

Program yang dilaksanakan di daerah berlainan setiap tahun itu akan dirasmikan Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Pengerusi PBPPPM Daerah Kuala Terengganu, Puan Ainun Jamilah Mohd Ali, berkata acara majlis bakal bermula pada jam 9.30 pagi disertai dengan perasmian oleh Dato’ Seri Idris dan berakhir kira-kira empat jam kemudian.


“Kita berbesar hati untuk menguar-uarkan majlis ini supaya semua ahli persatuan dapat menyertai sekali gus memeriahkan sambutan itu nanti.

 “Bagi ahli daerah Kuala Terengganu, dua bas disediakan untuk ke tempat program dan berkumpul di Kompleks Seri Iman pada jam 7.30 pagi hari berkenaan,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Puan Ainun Jamilah berkata, semua ahli jawatankuasa merangkap penganjur program itu berharap supaya majlis berkenaan nanti bukan sahaja menjadi wadah untuk bertemu dan bermaaf-maafan, malah dapat menyuburkan ukhwah dan saling berkongsi pengalaman bagi memajukan lagi PBPPPM.

Puan Ainun Jamilah berkata, persatuan yang mempunyai 1,700 ahli di seluruh Terengganu termasuk 800 daripada Kuala Terengganu itu sentiasa menjalankan aktiviti yang bermanfaat kepada ahli termasuk meraikan mereka di majlis sambutan hari raya yang dilaksanakan di setiap daerah.

 

No comments: