Halaman

18 August 2013

Masyarakat wajar kibar bendera

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Masyarakat di negeri ini terutama pemilik kenderaan dan premis perniagaan disaran mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara Ke-56 tanpa mengharapkan bendera percuma daripada mana-mana pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Agung Sambutan Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke 56, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang (gambar kiri) berkata, walaupun kini masih dalam suasana hari raya, tidak salah untuk berbuat demikian.

Katanya, pendekatan itu mampu mewujudkan rasa tanggungjawab dan semangat patriotisma kepada negara tanpa mengira bangsa dan usia.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu cinta kepada negara, tanda sayang dan cinta, boleh pamerkan melalui pelbagai kaedah termasuk mengibar bendera di kenderaan, rumah atau premis perniagaan.

“Pada masa sama, jangan harap sumbangan Jalur Gemilang percuma daripada mana-mana pihak, kerana ia boleh di beli dengan kadar harga yang sangat berpatutan,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan.

Katanya, seharusnya perlu merasa bangga dan bertuah kerana berpeluang untuk turut sama menyambut hari kemerdekaan negara ke-56. Semangat kemerdekaan perlu ditanam disetiap jiwa rakyat Malaysia

“Pihak kami berharap semua lapisan masyarakat dapat menyemarakkan lagi sambutan dan pertingkatkan rasa cinta terhadap negara, melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi atas nikmat pembangunan serta keamanan yang dikecapi kini,” katanya.

 Sementara itu, kerajaan negeri akan melancarkan Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke-56 dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Terengganu di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, petang esok.

 Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said, pemimpin kanan kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan agensi negeri dan Persekutuan akan hadir bagi memeriahkan majlis yang dijangka bermula jam 2.30 petang. 

Majlis tersebut akan dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan 1Malaysia, diikuti persembahan Sajak Malaysiaku Bedaulat: Tanah Tumpahnya Darahku. Selepas itu, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang, akan menyampaikan kata-kata aluan.

 Menteri Besar kemudiannya akan menyampaikan ucap utama dan seterusnya menyempurnakan majlis pelancaran sambutan berkenaan.

Selepas itu, upacara perarakan masuk 56 Bendera Malaysia oleh RAMD/TLDM dan diikuti upacara menaikkan bendera Malaysia.

 Menteri Besar kemudiannya menyampaikan bendera Malaysia kepada pegawai-pegawai daerah. Majlis itu berakhir dengan gimik pelancaran melekatkan Bendera Malaysia dan sticker Hari Kemerdekaan Ke-56 di kenderaan jabatan negeri, persektuan dan lain-lain agensi.

 

No comments: