Halaman

25 August 2013

MB terima kunjungan hormat rombongan Huaxicun, China

Oleh: Noraini Jusoh

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said menerima kunjungan hormat daripada rombongan Huaxicun, China dalam pertemuan di Pejabat Menteri Besar, Tingkat 16, Wisma Darul Iman, pagi ini.

Dalam pertemuan itu, Pengerusi Huaxi Group, Mr Wu Xie’ En selaku ketua rombongan sempat berkongsi pengalaman dan bercerita perkembangan pelbagai sektor serta meninjau kemungkinan mengadakan kerjasama dan pelaburan dalam bidang yang mampu menjana ekonomi kedua-dua pihak.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Dato' Tengku Putera Tengku Awang, dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafie.



Sejurus pertemuan tersebut berakhir dengan merakam gambar kenangan bersama Menteri Besar, rombongan dari China seramai lapan orang itu turut menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu, kira-kira jam 12 tengahari.

Pada sebelah petang, sesi dialog bersama Kerajaan Negeri Terengganu bersempena lawatan berkenaan diadakan di Hotel Primula Beach sebelum rombongan terbabit diraikan dalam majlis makan malam di hotel tersebut.