Halaman

23 August 2013

Pegawai Tadbir perlu sentiasa beri komitmen tinggi

Oleh: Noraini Jusoh

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu meriah dengan kehadiran ramai ahli bersama keluarga masing-masing walaupun diadakan pada sebelah malam yang berlangsung di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To' Puan Seri Norliza Mahmud bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mazlan Ngah dan isteri, To’ Puan Hajah Rohani Abdullah meluangkan masa hadir ke majlis berkenaan.

Dato’ Seri Haji Ahmad semasa berucap di majlis berkenaan turut berpesan kepada pegawai tadbir negeri ini agar sentiasa memberikan komitmen yang tinggi terhadap tugas yang diamanahkan.

"Dalam membantu pembangunan negeri, saya berharap semua pegawai tadbir melaksanakan tangungjawab masing-masing dengan penuh keikhlasan agar setiap pembangunan yang dirancang dapat berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Rumah terbuka yang bermula jam 9 malam itu menyaksikan pegawai tadbir dari semua daerah di negeri ini dapat berkumpul dan saling beramah mesra, selain menikmati pelbagai juadah yang disediakan.

Para tetamu disajikan dengan pelbagai makanan tradisional dan moden yang boleh diperolehi daripada gerai khas yang dibina berkonsepkan restoran.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan lagu raya oleh kumpulan SUKTRA.